Analisis awal varian baharu Covid-19 yang ditemui di Britain kemungkinan berasal dari penularan virus individu yang dijangkiti wabak itu secara kronik. FOTO AFP
Analisis awal varian baharu Covid-19 yang ditemui di Britain kemungkinan berasal dari penularan virus individu yang dijangkiti wabak itu secara kronik. FOTO AFP
Agensi

London: Analisis awal varian baharu Covid-19 yang ditemui di Britain kemungkinan berasal dari penularan virus individu yang dijangkiti wabak itu secara kronik.

Konsortium Genom Covid-19 United Kingdom (COG-UK) mendedahkan, faktor itu berdasarkan pemerhatian kadar mutasi yang tinggi terkumpul pada pesakit yang mengalami kerosakan sistem imun akibat jangkitan kronik Covid-19.

Prof Nick Loman dari kumpulan COG-UK berkata, beberapa mutasi itu ditunjukkan di makmal untuk meningkatkan keupayaan virus menjangkiti sel.

"Semua itu bersatu untuk membina kes virus yang dapat merebak dengan lebih cepat.

"Namun, kami tidak mempunyai kepastian mutlak. Strain baru boleh menjadi lebih biasa hanya dengan berada di tempat yang tepat pada waktu yang tepat seperti London, yang hanya mempunyai sekatan tahap dua sehingga kini.

"Apapun, justifikasi sekatan tahap empat adalah sebahagian langkah bagi mengurangkan penyebaran varian," katanya dalam portal BBC.

Katanya, hipotesis mereka menemui varian baharu itu mempunyai tiga mutasi biologi secara signifikan dengan kadar perubahan genetik luar biasa.

"Mutasi pertama dikenali sebagai N501Y mengubah bahagian terpenting virus dan bercantum dengan reseptor ACE-2 manusia. Ketika inilah ia membuat kontak pertama dengan permukaan sel badan kita.

"Mutasi kedua ialah H69/V70, penghapusan dua asid amino yang sebahagian kecilnya dikeluarkan dan dilaporkan sudah muncul beberapa kali sebelum ini termasuk kes mink yang dijangkiti.

"Selain itu, mutasi ketiga P681H, terletak pada protein yang diketahui menjadi tempat memiliki kepentingan biologi," katanya.

Katanya, setakat ini, belum ada bukti mengesahkan jangkitan daripada varian berkenaan menjadi penyebab kematian, namun ia masih memerlukan pemantauan dan kajian lanjut.

"Jika varian baharu ini pantas menjangkiti lebih ramai orang, ia akan menyaksikan ramai orang perlukan rawatan di hospital.

"Oleh itu, kajian makmal memang diperlukan, namun mampukah kita menunggu tempoh masa lama sehingga berbulan-bulan untuk melihat keputusan dan mengambil langkah untuk mengehadkan penularan," katanya.

Sementara itu, Prof David Robertson, dari University of Glasgow menyimpulkan virus berkenaan kemungkinan dapat menjana mutan pelepasan vaksin.

"Ia akan meletakkan kita pada kedudukan sama dengan situasi selsema di mana vaksin itu perlu diperbaharui secara berkala," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:01 AM