IBU pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). FOTO Rosela Ismail
IBU pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). FOTO Rosela Ismail
Noor Mohamad Shakil Hameed

RASUAH bukan masalah baru di negara kita. Walaupun tangkapan demi tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa, golongan yang memberi dan menerima rasuah ini tidak pernah serik. Dalam konteks ini rasuah di agensi kerajaan dan dalam kalangan penjawat awam sering menarik perhatian khalayak kerana ia melibatkan kepentingan awam. Justeru, penjawat awam sendiri perlu memainkan peranan lebih aktif dan agresif dalam membantu usaha membasmi rasuah dalam perkhidmatan awam. Ringkasnya, penjawat awam boleh bertindak sebagai agen basmi rasuah supaya impian sifar rasuah dalam perkhidmatan awam dapat direalisasikan.

Pendedahan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil baru-baru ini bahawa tidak ramai dalam kalangan penjawat awam yang berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing wajar membuka mata semua penjawat awam. Data suruhanjaya itu menunjukkan antara 2012 hingga tahun lalu, hanya 343 penjawat awam tampil memberi maklumat membabitkan kesalahan rasuah iaitu hanya 0.02 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam.

Ini dengan jelas menunjukkan masih banyak lagi yang boleh disumbangkan oleh penjawat awam bagi membantu membersihkan perkhidmatan awam daripada rasuah. Ironinya, kita tidak mahu tindak tanduk segelintir penjawat awam mencemarkan nama dan imej keseluruhan perkhidmatan awam.

Justeru, sudah tiba masanya penjawat awam bertindak sebagai agen basmi rasuah dalam perkhidmatan awam. Sebagai agen basmi rasuah, setiap penjawat awam boleh memainkan sekurang-kurangnya dua peranan yang utama. Pertama, setiap penjawat awam wajib mengawal diri daripada meminta atau menerima rasuah. Ia penting kerana perbuatan meminta atau menerima rasuah membabitkan soal nilai, integriti dan maruah diri setiap penjawat awam. Setiap penjawat awam perlu sentiasa sedar bahawa tindakan menerima rasuah adalah umpama menjual maruah diri dan mengkhianati kepercayaan rakyat dan negara. Walau apapun alasan, jangan sesekali meminta atau menerima rasuah. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu serta peningkatan kos sara hidup yang tinggi, kita boleh memahami desakan hidup penjawat awam terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) namun sekali lagi itu juga bukan alasan untuk kita meminta atau menerima rasuah kerana jangan lupa ia pendapatan yang haram dan tidak berkat. Memang bukan mudah untuk kita menahan diri daripada pelbagai godaan mahupun sogokan daripada pemberi rasuah namun percayalah jika kita berpegang teguh kepada prinsip dan etika kerja yang jujur, ikhlas dan amanah, kita pasti dapat mengharungi ujian itu.

Peranan kedua sebagai agen basmi rasuah ialah kita perlu sahut cabaran pihak SPRM untuk berani tampil ke hadapan dan melaporkan perbuatan rasuah yang berlaku di sekeliling kita. Dalam hal ini penjawat awam tidak perlu takut atau khuatir tentang keselamatan diri apabila membuat laporan kerana semua laporan itu adalah rahsia dan penjawat awam yang melapor dan menjadi saksi bagi kes rasuah juga dilindungi di bawah peruntukan undang-undang seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009. Jadi janganlah takut untuk membuat laporan sebaliknya jadilah mata dan telinga bagi pihak organisasi supaya sama-sama berganding bahu membasmi rasuah di agensi masing-masing. Malah, sebagai tambahan, kerajaan juga menyediakan insentif kewangan kepada penjawat awam yang melaporkan rasuah. Untuk rekod, dari 2012 hingga tahun lalu, kerajaan mengeluarkan insentif RM640,400.15 sebagai ganjaran kepada 343 orang yang berani tampil membuat laporan itu.

Hakikatnya, penjawat awam perlu sedar betapa tindakan kita yang berdiam diri tanpa menegur mahupun membuat laporan kepada pihak berkuasa bukan saja boleh dianggap sebagai bersubahat dengan orang yang menerima rasuah, malah lebih parah lagi ia akan menyebabkan perbuatan rasuah itu terus berleluasa dalam jabatan kita. Jangan terkejut jika pada akhirnya rasuah dalam jabatan akan terus merebak umpama virus yang sukar dikawal sekali gus menghancurkan organisasi
itu sendiri.

Maka dalam konteks ini tidak salah untuk kita menjaga tepi kain orang. Sebagai agen basmi rasuah, kita perlu ambil tahu apa berlaku di sekeliling kita supaya segera boleh mencegah sebelum menjadi parah dengan cara sama ada menegur atau melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Jangan sesekali berkompromi dengan individu yang tidak ada integriti, tamak dan mahu cepat kaya dengan cara yang tidak betul atau buat endah tak endah dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Penulis cukup yakin majoriti penjawat awam adalah individu yang benci rasuah dan memiliki nilai integriti dan maruah diri yang tinggi. Mereka ini tidak boleh dijual beli dengan apa cara sekalipun. Cuma apa yang diperlukan ialah sedikit keberanian dalam diri untuk menegur atau tampil membuat laporan mengenai perbuatan rasuah yang berlaku.

Setiap penjawat awam perlu sedar bahawa inisiatif membasmi rasuah dalam perkhidmatan awam adalah tanggungjawab bersama setiap individu penjawat awam. Jangan letak tanggungjawab itu di bahu ketua jabatan atau pihak berkuasa semata-mata. Hal ini penting kerana rasuah membabitkan soal nilai, integriti, etika dan maruah diri setiap penjawat awam. Cukuplah segala tohmahan, persepsi dan pandangan negatif yang dilontarkan terhadap penjawat awam hanya kerana segelintir yang tamak dan sanggup menjual maruah diri. Marilah kita pikul amanah dan tanggungjawab untuk terus meningkatkan imej penjawat awam dengan bertindak sebagai agen pembasmi rasuah.

Penulis pentadbir di sebuah universiti awam dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 9:30 AM