GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Sebelum ini kita banyak mendengar berkaitan isu daulah terpendam atau deep state membabitkan penjawat awam yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan anggota masyarakat.

Dalam konteks ini daulah terpendam banyak dikaitkan dengan pandangan, persepsi, tanggapan dan juga tuduhan terhadap segelintir penjawat awam yang dikatakan tidak berpuas hati serta cuba mensabotaj kerajaan di peringkat kementerian dan jabatan atau agensi kerajaan yang tertentu.

Walaupun ia tidak pernah dibuktikan namun tetap menjadi igauan ngeri kepada imej penjawat awam dan juga perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Jadi dengan adanya kerajaan sedia ada ini, besarlah harapan kita agar imej dan persepsi ini dapat diperbetulkan dengan segera.

Tuntasnya, kita mahu kerajaan yang memerintah yakin dan meletakkan kepercayaan yang penuh kepada penjawat awam.

Secara umumnya, daulah terpendam adalah terjemahan langsung kepada frasa deep state yang menggambarkan situasi kegagalan pentadbiran awam yang demokratik akibat kewujudan kerajaan dalam kerajaan.

Mengikut tafsiran, kumpulan ini dikatakan mampu mengetepikan keputusan dan kehendak kerajaan semasa dan bertindak sebagai tangan ghaib bagi melaksanakan polisi dan agenda negara di luar proses pembuatan keputusan oleh kepemimpinan kerajaan.

Berdasarkan tafsiran ini adalah cukup berat dan serius jika penjawat awam terus dikaitkan dengan daulah terpendam.

Ironinya, kita tidak mahu wujud defisit kepercayaan antara kerajaan dengan penjawat awam kerana ia boleh mengganggu urus tadbir sistem pentadbiran kerajaan secara keseluruhannya.

Oleh itu, penulis ingin mencadangkan agar pihak kerajaan melihat isu ini dengan serius dan perbaiki persepsi yang ada.

Persepsi negatif ini dapat diperbetulkan jika kerajaan yakin dengan penjawat awam.

Keyakinan yang kita harapkan daripada kerajaan ini boleh dibahagikan kepada beberapa aspek yang penting.

Antaranya dan yang paling utama ialah, yakin dan percayalah dengan kesetiaan penjawat awam kepada kerajaan semasa
di samping pendirian apolitical dan berkecuali mereka.

Hal ini kerana, inilah amalan, budaya dan pegangan semua penjawat awam selama ini.

Walaupun sebagai manusia biasa penjawat awam pasti ada pegangan ideologi politik masing-masing namun yakinlah dalam soal kerja mereka sangat profesional dan berkecuali serta boleh membezakan antara kepentingan peribadi dengan kepentingan awam.

Ringkasnya, walaupun kerajaan dan kepemimpinan bertukar ganti, penjawat awam tetap setia kepada kerajaan yang memerintah.

Justeru, besarlah harapan kita agar tidak ada lagi tuduhan mahupun sebarang persepsi bahawa penjawat awam sabotaj dan tidak menyokong agenda kerajaan.

Seterusnya kita juga mohon agar kerajaan yakin dan percaya dengan kemampuan, kemahiran dan pengalaman yang ada pada penjawat awam.

Percayalah selama ini penjawat awamlah yang membantu melaksanakan segala dasar dan agenda yang diperkenalkan oleh kerajaan baik untuk membangunkan negara mahupun untuk kesejahteraan rakyat.

Penjawat awam memiliki kemampuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan efisien kepada kerajaan dan juga rakyat.

Jangan sesekali pertikai pengalaman yang ada pada penjawat awam.

Sebagai bukti yang paling nyata, jangan lupa tatkala negara berhadapan dengan kemelut politik baru-baru ini dan dalam keadaan tidak ada jemaah menteri, penjawat awam memainkan peranan yang cukup besar dengan memastikan semua urusan pentadbiran kerajaan dan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan seperti biasa dan lancar.

Justeru, kita berharap kerajaan boleh mengurangkan lantikan politik sebaliknya yakin dan percaya untuk melantik penjawat awam ke jawatan utama dan strategik supaya mereka boleh membantu pihak kerajaan secara profesional.

Dalam konteks ini penulis amat bersetuju dengan pandangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang baru-baru ini mencadangkan agar anggota perkhidmatan awam dilantik mengisi jawatan ketua perkhidmatan utama di negara kita.

Kerajaan juga perlu yakin dengan tahap integriti dan amanah penjawat awam.

Percayalah majoriti masih menjadikan integriti sebagai perisai dan benteng utama mereka serta tahu membezakan antara yang halal dan haram.

Golongan ini masih berpegang teguh kepada prinsip ‘saya yang menjalankan amanah’.

Justeru jangan meragui integriti dan amanah mereka.

   

>>Penulis adalah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 7:01 AM