MOHD Azmi (kiri) dan Mohd Fauzi melihat contoh yang dihasilkan syarikat Alfa Laval.
MOHD Azmi (kiri) dan Mohd Fauzi melihat contoh yang dihasilkan syarikat Alfa Laval.
Oleh Mohamad Hussin


Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan dua industri dalam sektor pertanian dan makanan melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

Projek itu membabitkan syarikat Alfa Laval Malaysia Sdn Bhd (Alfa Laval) dan CH Green Sdn Bhd (CH Green) sempena Persida­ngan Antarabangsa Mengenai Kesinambungan Pertanian untuk Makanan dan Tenaga dalam Konteks Serantau dan Global kali ke-7 (ICSAFEI) 2015 di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, projek usahasama itu bertujuan menyediakan lebih banyak pendedahan kepada kaedah pemprosesan berasaskan teknologi dan industri melalui amali pengajaran serta peluang penyelidikan dan pembangunan kepada pelajar.

Beliau berkata, syarikat Alfa adalah pembekal global dalam produk khusus dan penyelesaian kejuruteraan berdasarkan teknologi terutama pemindahan haba, pengasingan dan pengendalian bendalir.

“Peralatan, sistem dan perkhidmatan syarikat ini tertumpu dalam membantu industri pemprosesan untuk mengoptimumkan prestasi proses mereka.

“Penyelesaian dapat membantu dari segi memanas, menyejuk, penghasilan dan angkutan produk yang berbeza untuk menghasilkan makanan dan minuman, bahan kimia, petrokimia, produk farmaseutikal, kanji, gula dan etanol di industri.

“Alfa Laval menyediakan teknologi, pengalaman dan keupayaan kejuruteraan yang membolehkan pengusaha industri minyak sawit dan minyak sayur-sayuran untuk mengendalikan proses utama mereka,” katanya.

Dalam MoU itu, Fauzi mewakili UPM manakala Alfa Laval diwakili Pengarah Urusannya, Daniel Ng dan CH Green diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ang Lee Kaw.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Azmi Yahya.

Mohd Fauzi berkata, Alfa Laval bersetuju menubuh­kan sebuah loji berpandu pemeringkatan kering 200 kilogram (kg) di UPM untuk pengajaran dan penyelidikan dalam pemprosesan minyak dan lemak.

“Syarikat ini akan berkongsi pengalaman industri dan pengetahuan untuk membantu pengajaran dan penyelidikan universiti dengan menggunakan kemudahan kilang perintis ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat CH Green khusus dalam pengurusan sisa kepada tenaga dan membekalkan teknologi pengurusan sisa makanan dan bahan organik dalam usaha menggalakkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Menurutnya, kerjasama itu juga bagi menggalakkan aktiviti pertanian secara mampan dan inovatif serta kaedah penguraian secara komposit terhadap sisa makanan kepada tenaga yang diperbaharui.

“CH Green menyediakan sebuah mesin pengkomposan segera bagi proses pengeluaran biogas Cowtech seberat 100kg di ladang 2 UPM untuk penghasilan baja cecair organik dan biogas daripada pelbagai sisa sampingan pertanian dan makanan.

“Teknologi pengurusan sisa makanan dan bahan organik bertujuan memberi pendedahan untuk mencapai matlamat meminimumkan sisa buangan atau sifar penyelesaian bagi sisa organik,” katanya.

Mohd Fauzi berkata, sebanyak 45 peratus bahan buangan negara adalah sisa makanan, oleh itu langkah pengasingan bahan buangan yang berkuat kuasa 1 September lalu, untuk kelestarian alam sekitar dengan adanya mekanisme guna semula sisa kepada hasil untuk teknologi hijau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 5:00 AM