MINYAK boleh diekstrak dengan kos yang kompetitif.
MINYAK boleh diekstrak dengan kos yang kompetitif.
DR Alawi bersama sekumpulan penyelidik yang membuat kajian mengekstrak minyak dan bahan produk bio daripada biojisim sawit.
DR Alawi bersama sekumpulan penyelidik yang membuat kajian mengekstrak minyak dan bahan produk bio daripada biojisim sawit.
PENYELIDIKAN mengekstrak minyak dan bahan produk bio daripada biojisim sawit.
PENYELIDIKAN mengekstrak minyak dan bahan produk bio daripada biojisim sawit.
Oleh Mohamad Hussin


Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) mempelopori penyelidikan mengekstrak minyak dan bahan produk bio daripada biojisim sawit sejak tahun 2012.

Ketua Projek UiTM Dr Alawi Sulaiman berkata, setiap tahun industri sawit mengeluarkan jutaan tan sisa industri sawit yang masih mengandungi minyak seperti tandan kosong sawit, fiber mesokap, kek dekanter dan efluen kilang sawit.

Beliau berkata, walaupun peratusan kandungan minyak amat rendah, tetapi masih berbaloi jika berjaya diekstrak menggunakan teknologi terkini dengan kos yang kompetetif.

“Melalui projek ini, kita berjaya menunjukkan minyak berkenaan boleh diekstrak denga kos yang kompetetif melalui kaedah nanoteknologi yang lebih berinovasi.

“Ini akan memberikan pulangan yang besar kepada industri sawit negara. Kaedah ini sedang di dalam proses paten dan di peringkat akhir kajian peringkat loji pandu,” katanya yang ditemui di UiTM, Shah Alam, Sela­ngor, baru-baru ini.

Dr Alawi berkata, bagi setiap satu peratus kehilangan kadar perahan minyak sawit (OER), negara kehilangan hampir satu bilion ringgit setahun jika membabitkan keseluruhan kilang sawit di Malaysia.

“Jumlah ini amatlah besar dan sebahagiannya boleh digunakan semula industri untuk memajukan projek penyelidikan kelestarian industri sawit tanpa membabitkan bajet kerajaan yang banyak,” katanya.

Menurutnya, industri sawit penyumbang terbesar sektor perladangan kepada ekonomi negara. Industri minyak sawit menyumbang sebanyak RM47.7 bilion pada tahun 2010 dan meningkat kepada RM52.7 bilion pada tahun 2014.

“Pada tahun 2020, dianggarkan industri sawit akan terus memberikan sumbangan terbesar sektor perladangan kepada ekonomi negara iaitu RM178 bilion serta me­nyediakan sebanyak 41,600 peluang pekerjaan.

“Menyedari hakikat ini, UiTM mempelopori pe­nyelidikan mengekstrak minyak daripada biojisim sawit sejak tahun 2012 melalui projek berprestij Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Skim Geran Penyelidikan Jang­ka Panjang (LRGS).

“Projek ini adalah kerjasama dengan pihak industri iaitu FELDA Global Ventures (FGV) dan rakan universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk selama lima tahun bermula 2012 dan akan berakhir pada 2017,” katanya.

Dr Alawi berkata, sehingga kini banyak pencapaian utama diperoleh oleh projek ini. Melalui memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM, FGV dan UPM pada tahun 2014 membuka peluang kerjasama penyelidikan strategik yang akan menguntungkan ketiga-tiga pihak iaitu rakan industri dan universiti dalam jangka masa panjang.

“Antara inti pati kerjasama ini ialah memudahkan usaha pihak universiti untuk mendapatkan data penyelidikan sebenar daripada kilang sawit milik FGV serta kemudahan latihan penyelidikan untuk staf dan pelajar universiti.

“Sebagai balasannya pihak universiti akan berkongsi hasil penyelidikan dengan pihak FGV sehinggalah berjaya dikomersialkan.

“Di samping itu, MoU ini akan menjadi platform bagi pelbagai program berimpak tinggi yang lain seperti seminar, kolokuium, program sangkutan, latihan serta penerbitan artikel untuk buku dan jurnal berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kajian awal menunjukkan peratusan minyak yang dikandungi sisa sawit atau kini dikenali sebagai biojisim sawit ialah sehingga 14 peratus bagi biojisim yang tertentu.

“Walaupun teknologi pemprosesan minyak sawit daripada tandan segar sawit agak matang dan banyak penambahbaikan dari segi teknologi pemprosesan sawit telah di­bangunkan, tetapi malangnya proses pengurusan biojisim sawit secara terancang dan holistik amatlah kurang diberikan perhatian oleh pihak industri.

“Dianggarkan pulangan sebanyak RM1 juta hingga RM2 juta setahun untuk setiap kilang sawit boleh dijana melalui hasil minyak tambahan melalui kaedah ini.

“Hasil biojisim yang bebas minyak kemudiannya boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk bio yang bernilai tinggi yang lain serta produk kraftangan yang akan menyumbang kepada penjanaan pendapatan tambahan kepada pihak industri,” katanya.

Projek penyelidikan ini turut dibantu Prof Dr Robiah Yunus, Dr Ing Mohd Noriznan Mokhtar dan Dr Azhari Samsu Baharuddin (UPM); Prof Madya Dr Ayub Md Som (UiTM); Dr S Karuppuchamy (Alagappa University, India) dan Zainuri Busu (FTJ Biopowers Sdn Bhd).

Projek ini juga dibantu beberapa pelajar pascasiswazah iaitu Siti Noraida Abd Rahim, Nurul Aini Edama, Wan Siti Shazzelyn Aida Wan Sharifuddin, Muhammad Aqif Adam, Naimah Sahad, Noor Seribainun Hidayah Md Yunos, Javier Hernando Chavarro Gomez, Julia Andrew, Chu Chang Jie dan Suhaini Raeze.

Sehingga kini, projek itu mendapat pelbagai pe­ngiktirafan pihak industri dan masyarakat penyelidik.

“Projek ini merangkul beberapa pingat emas di Invention Innovation and Design Exposition (IIDEX) tahun 2014 dan 2015 di UiTM.

“Projek ini mendapat pingat emas dan tempat pertama kategori hubungan industri di Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Industri dan Masyarakat (AKPIM) 2014,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:02 AM