DARI kiri, Sazali, Ahmad Adly, Ahmad Parveez dan Mohamad Helmy pada majlis meterai MoU antara MPOB dan Petronas.
DARI kiri, Sazali, Ahmad Adly, Ahmad Parveez dan Mohamad Helmy pada majlis meterai MoU antara MPOB dan Petronas.

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Petronas menjalin kerjasama bagi kajian penggunaan minyak masak terpakai dan sisa minyak sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia.

Kedua-dua organisasi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 14 Ogos lalu untuk meneroka potensi produk berasaskan sawit iaitu minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit di peringkat kilang seperti efluen kilang minyak sawit (POME) sebagai bahan mentah utama untuk kilang penapisan bio tempatan bagi menghasilkan SAF.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Naib Presiden Penapisan, Pemasaran dan Perdagangan, Perniagaan Hiliran, Petronas, Ahmad Adly Alias menyempurnakan perjanjian persefahaman itu yang merintis kepada kerjasama dua pihak dalam dalam penggunaan minyak sawit terpakai dan sisa buangan sawit bagi menyumbang kepada penjanaan tenaga mampan serta kesejahteraan ekonomi negara.

Majlis disaksikan oleh Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah.

MPOB dan Petronas akan bekerjasama membangunkan rangka kerja termasuk kebolehkesanan minyak masak terpakai dan sisa bahan buangan sawit, selain akan mengatur strategi komunikasi, pendidikan dan kesedaran umum mengenai kepentingan penggunaan minyak masak terpakai dan sisa buangan sawit sebagai bahan mentah utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 8:03 AM