TAPAK pelupusan sampah di Sungai Udang, Melaka yang kini sudah berada pada tahap kritikal.
TAPAK pelupusan sampah di Sungai Udang, Melaka yang kini sudah berada pada tahap kritikal.
Nor 'Asyikin Mat Hayin

Ramai beranggapan sisa buangan pepejal atau sampah domestik yang dihasilkan daripada aktiviti manusia setiap hari perlu dibuang terus ke tapak pelupusan kerana beranggapan ia tidak bernilai.

Malah masalah sisa pepejal ini juga kerap dikaitkan sebagai antara sumber pencemaran alam sekitar.

Hakikatnya, di negara ini ramai yang tidak mengetahui sisa pepejal itu jika diuruskan dengan baik, ia boleh diproses menjadi sumber dan bahan berguna kepada negara dan melestarikan alam sekitar.

Kaedah ini dikenali sebagai sisa buangan kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE) iaitu teknologi yang memproses sisa buangan pepejal dan menukarnya kepada haba, stim serta tenaga elektrik.

Kebanyakan negara maju sudah lama mengamalkan kaedah pengurusan sisa pepejal WTE seperti Sweden, Jerman, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Singapura. Impaknya sangat baik bukan saja kepada negara itu sendiri malah rakyatnya.

Ketua Penyelidikan Makmal Sumber Udara, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun, Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Mohd Rashid Mohd Yusof berkata, sudah tiba masanya Malaysia menukar kaedah pelupusan sisa pepejal kepada teknologi WTE.

Katanya, kaedah WTE adalah lebih mampan dan sangat baik untuk masa hadapan negara berbanding cara pelupusan sedia ada.

TAPAK pelupusan sampah membebaskan gas metana yang didapati 20 kali ganda lebih berbahaya daripada gas karbon dioksida.
TAPAK pelupusan sampah membebaskan gas metana yang didapati 20 kali ganda lebih berbahaya daripada gas karbon dioksida.

“Saya tidak menafikan kos membina loji WTE agak tinggi tapi ia lebih murah jika dimulakan sekarang berbanding dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

“Kesan jangka panjang, penggunaan teknologi itu memberi banyak manfaat kerana apa juga yang terhasil daripada WTE boleh digunakan semula seperti elektrik, haba dan wap.

“Malah sisa pepejal yang dilupus melalui WTE akan menghasilkan abu dan ia juga boleh dijadikan bahan binaan seperti batu bata sebagaimana dilakukan di negara maju seperti Jepun,” katanya.

Begitu juga dengan bahan logam seperti besi dan aluminium yang terhasil daripada WTE boleh dijual dan diguna semula.

“Terdapat lima komponen di dalam WTE apabila peringkat pertama bermula dengan sisa buangan pepejal daripada domestik dan industri dikumpulkan di dalam tempat penyimpanan.

“Selepas sisa berkenaan dipindahkan ke reaktor utama untuk peringkat kedua iaitu menjalani proses pembakaran pada suhu 850 hingga 1,000 darjah Celsius bagi menjamin proses pembakaran yang sempurna di dalam rektor berkenaan, “katanya.

Menurutnya, pada komponen ketiga ketika proses pembakaran itu juga turut berlaku penjanaan haba, wap dan tenaga elektrik yang boleh digunakan secara terus oleh pengguna.

“Seterusnya ialah komponen keempat yang pada peringkat ini berlaku pembersihan bahan pencemaran udara melalui alat kawalan pencemaran udara yang cekap menepati standard diguna pakai dalam kebanyakan blok negara maju seperti Komuniti Ekonomi Eropah.

“Peringkat kelima ialah pemulihan produk hasil pembakaran jenis logam dan abu untuk diproses semula di kilang besi atau aluminium serta bahan bata,” katanya.

TAPAK pelupusan sampah tidak boleh digunakan semula kerana keadaan kawasan yang tidak stabil dan ‘menyimpan’ banyak bahan kimia.
TAPAK pelupusan sampah tidak boleh digunakan semula kerana keadaan kawasan yang tidak stabil dan ‘menyimpan’ banyak bahan kimia.

Disebabkan loji WTE bersifat mesra alam sekitar, ia sesuai dibina di kawasan bandar seperti yang terdapat di luar negara kerana kesannya sangat rendah dan segala faktor keselamatan sudah diambil kira ketika mereka bentuk loji itu.

WTE bukan hanya menjamin pengurusan sisa buang yang lebih mampan malah dapat memastikan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

“Difahamkan di Eropah sudah mempunyai hampir 500 loji WTE manakala di Jepun ada 60 loji.

“Singapura dipercayai sudah menggunakan teknologi WTE lebih 25 tahun lalu dan kini memproses kira-kira 8,000 tan sisa pepejal setiap hari,” katanya.

Dr Mohd Rashid berkata, penjanaan tenaga sisa buangan melalui WTE semakin dilihat penting kerana untuk menjadikan sisa pepejal sebagai salah satu sumber bahan api mampan dan ia adalah satu strategi pelaburan tenaga diperbaharui yang berpotensi di negara ini.

Persoalannya, bilakah Malaysia mahu menukar kepada kaedah pengurusan sisa pepejal yang lebih selamat, mampan dan mesra alam kerana kaedah pelupusan sampah sedia ada sudah tidak relevan dan selamat untuk generasi akan datang?

Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JSPN), iaitu agensi yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal di negara ini menyatakan secara puratanya rakyat negara ini menghasilkan kira-kira 38,000 tan sisa pepejal setiap hari.

DR Mohd Rashid menerangkan proses WTE yang membabitkan lima komponen.
DR Mohd Rashid menerangkan proses WTE yang membabitkan lima komponen.

Mengulas lanjut Dr Mohd Rashid berkata, jumlah itu adalah satu angka yang besar dan semua bahan itu dibuang terus di tapak pelupusan sampah.

“Jumlah sampah yang dihasilkan meningkat setiap tahun dan kita sudah tidak mempunyai tanah untuk dijadikan tapak pelupusan yang baru terutama bagi kawasan bandar,” katanya.

“Setiap tapak pelupusan sampah digunakan dalam tempoh 15 hingga 20 tahun dan selepas itu tidak boleh digunakan lagi kerana keadaan kawasan yang tidak stabil itu ‘menyimpan’ banyak bahan kimia.

“Ia sangat merugikan kerana jika menggunakan kaedah WTE, tapak kawasan itu boleh diguna semula untuk tujuan pembangunan lain kelak,” katanya.

Katanya, tidak ramai menyedari tapak pelupusan sampah membebaskan gas metana yang didapati 20 kali ganda lebih berbahaya daripada gas karbon dioksida yang menyumbang kepada perubahan iklim dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 11:15 AM