SEAN LJE (kiri) bergandingan bersama Shuk Sahar mengacarakan I Can See Your Voice 2. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
SEAN LJE (kiri) bergandingan bersama Shuk Sahar mengacarakan I Can See Your Voice 2. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Najiy Jefri


PENGACARA dan pelakon Sean LJE menafikan dakwaan wujudnya isu ‘mencaras’ pelakon Alvin Chong susulan pelantikannya sebagai pengacara baru program realiti hiburan, I Can See Your Voice 2 (ICSYVMY2).

Sean ketika ditemui berkata, dia menganggap tawaran terbabit sebagai rezeki dan kelainan yang ingin dibuat pihak produksi.

“Saya tidak ‘sailang’ sesiapa. Tawaran ini datang secara baik dan saya menerima tugasan ini sebagai satu cabaran baru.

“Saya percaya masing-masing mempunyai kekuatan sendiri dan mungkin pihak produksi ingin mencuba sesuatu yang baru pada musim ini,” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk dia memberitahu Alvin mengenai tawaran terbabit memandangkan masing-masing faham dengan rezeki yang diterima.

“Hubungan saya dan Alvin baik. Kami berkawan dan tiada apa-apa masalah.

“Ketika menerima tawaran ini saya tidak maklumkan padanya kerana percaya dia pun faham perkara ini.

“Kami saling menghormati dan tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya terima rezeki yang datang,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman pertamanya mengacarakan program ICSYVMY2 bersama pengacara Shuk Sahar, Sean berkata, dia mengaku cuak namun semuanya berjaya diatasi dengan baik.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mengacarakan program berbentuk sebegini. Saya tidak pernah mengendalikan program yang ada tetamu serta artis undangan.

“Jujur agak gementar pada mulanya tapi berkat sokongan pihak produksi serta rakan artis yang terbabit saya semakin menyesuaikan diri dan berjaya mengatasinya,” katanya.

(ICSYVMY2 kembali untuk musim kedua bermula 23 Jun ini pada setiap Ahad, jam 9 hingga 10.30 malam di TV3.

Program yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM itu bakal menampilkan penyanyi misteri bersama barisan artis jemputan tanah air sepanjang 13 minggu bersiaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 3:54 PM