Pertemuan Elfira dan ibunya, Filzah Yusoff di Tanah Suci Makkah selepas selesai menunaikan haji.
Pertemuan Elfira dan ibunya, Filzah Yusoff di Tanah Suci Makkah selepas selesai menunaikan haji.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon Elfira Loy, 30, bersyukur dan gembira apabila dapat juga bertemu ibunya, Filzah Yusoff di Makkah.

Mereka sama-sama mengerjakan haji tahun ini tetapi pergi berasingan di mana Elfira mendapat jemputan daripada Kementerian Media Arab Saudi manakala ibunya bersama Tabung Haji.

Elfira dalam perkongsian video di Instagram dilihat membawa sekuntum mawar putih dan diberikan kepada ibunya sebaik mereka bertemu dengan diiringi pelukan serta linangan air mata.

"Alhamdulillah, selepas banyak hari mencuba untuk bertemu dengan ibu saya, syukur dapat juga jumpa. Terima kasih pada semua yang membantu.

"Akhirnya, haji bersama-sama," tulisnya pada keterangan gambar dan mendapat maklum balas positif daripada netizen yang mendoakan segala urusan dua beranak itu dipermudahkan di Makkah.

Semakan di ruangan komen mendapati ada netizen menyifatkan video pertemuan Elfira bersama ibunya umpama gambaran apabila kita mencari ahli keluarga di Akhirat nanti.

"Macam ini gambaran bila kita mencari ahli keluarga 'di sana' nanti?," komen seorang pengguna media sosial.

"Rupanya susah nak jumpa kat sana ye. Masya-Allah. Macam mana nak mencari ahli keluarga di Padang Mahsyar kelak. Hampir mustahil agaknya," komen netizen.

"Berdoa, di sana tiada yang dapat digambarkan melainkan dengan doa. Mintalah apa saja pun sebab Allah Maha Mendengar dan memakbulkan doa hamba-Nya," tulis wargamaya.

Terdahulu, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy berangkat ke Makkah bagi menyahut panggilan haji pada 10 Jun lalu menerusi jemputan daripada Kementerian Media Arab Saudi.

"Di saat akhir, selepas menghantar ibu ke haji, saya mendapat berita tentang jemputan ini. Allah Maha Baik, baik sangat dengan saya, terima kasih ya Allah.

"Saya menyambut baik panggilan Allah, melalui sambutan haji di bawah Kementerian Media Arab Saudi. Jemputan ini adalah di saat terakhir, tapi saya anggap inilah panggilan yang sangat istimewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:31 PM