MAT London mahu masyarakat mengenang dan sedikit sebanyak dapat informasi mengenai dunia pengarahan di Malaysia. FOTO Arkib NSTP
MAT London mahu masyarakat mengenang dan sedikit sebanyak dapat informasi mengenai dunia pengarahan di Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PERSATUAN Sutradara Malaysia (FDAM) bakal menjadikan program Apresiasi Filem Tempatan sebagai acara bulanan.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, program seumpama itu adalah yang pertama daripada FDAM sekali gus menghargai pembikin filem atau pengarah.

“Ini program pertama FDAM dalam sejarah. Insya-Allah projek ini akan berterusan dan diadakan pada setiap bulan.

“Sebelum ini banyak apresiasi belum imbas kenangan dan kejayaan mereka terutama filem baru. Jadi, pada program ini kita buat dan nak imbangkan filem lama serta baru.

“FDAM juga merancang untuk membawa program ini di seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia. Kami nak bawa filem lama dan baru ke dalam institusi pelajaran,” katanya.

Menurutnya, satu lagi sasaran dalam penganjuran program itu adalah memberi kefahaman kepada pelajar dan golongan remaja terhadap dunia pengarahan filem di Malaysia.

“Kita nak mereka mengenang dan sedikit sebanyak dapat informasi mengenai dunia pengarahan di Malaysia.

“Tentu saja nak bawa FDAM ke persada mereka supaya khalayak tahu FDAM persatuan yang menitikberatkan pembikin filem.

“Disebabkan itu, fokus apresiasi ini lebih kepada menghargai dan imbas kembali. Jadi, kita bermula dengan pengarah filem Dia Ibuku, Yasin Salleh. Mungkin selepas ini Mamat Khalid, Mat Sentul, pengarah muda seperti Syamsul Yusof dan ramai lagi.

“Tidak lupa juga kepada pengarah muda yang dapat pengiktirafan di luar negara seperti pengarah filem pendek. Mereka juga akan turut serta,” katanya.

Sebagai permulaan, program itu menayangkan semula filem Dia Ibuku lakonan Datuk Sarimah Ahmad yang diadakan di Studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Petaling Jaya, hari ini.

Menariknya, filem itu dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang meraih 10 anugerah pada Festival Filem Malaysia kedua (FFM2).

“Dia Ibuku filem yang penuh sastera. Ia berlatar budaya dan wajah kita. Banyak himpunan jati diri kita dalam filem ini. Jadi, kita rasa cerita ini benar-benar angkat budaya setempat supaya penonton sekarang dan anak muda lebih tahu bahawa filem kita sebenarnya kaya dengan sastera dan tempat menarik.

“Filem ini juga kita kagum apabila dapat 10 anugerah pada FFM2. Ketika itu filem ini bertanding dengan filem hebat lain. Apabila ia menang, bermakna filem ini hebat termasuk menang Pengarah Terbaik.

“Filem ini juga pegang rekod dalam sejarah penganjuran FFM. Belum ada lagi filem dapat banyak anugerah sebegitu dalam FFM,” katanya.

Sementara itu, Yasin Salleh berkata, dia terkejut dan tidak menjangka mendapat pelawaan daripada FDAM.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka dan menduga dipilih menjadi pengarah pertama untuk menyertai program ini.

“Apatah lagi saya memang sudah lama tidak aktif dalam bidang pengarahan. Saya terfikir mungkin orang sudah tidak ingat sebab orang lama.

“Alhamdulillah, FDAM menganjurkan program ini dan memilih karya arahan saya. Bagi saya, ini peluang terbaik untuk generasi muda lebih mengenali filem tempatan terutama bidang pengarahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 8:36 PM