Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap pada Sesi Libat Urus dan Jalinan bersama Pengusaha Pawagam di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berucap pada Sesi Libat Urus dan Jalinan bersama Pengusaha Pawagam di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) belum bercadang menetapkan kuota tayangan filem asing bagi mengehadkan kemasukan karya luar untuk ditayangkan di pawagam tempatan buat masa ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, buat masa ini fokus perlu diberikan pada usaha menambah baik taraf industri perfileman negara.

Beliau berkata demikian apabila ditanya berhubung kawalan lambakan kemasukan filem asing terutama dari Indonesia yang dibawa untuk tayangan di sini.

"Kita nak mewujudkan kuota produksi sebagaimana yang dipraktikkan di negara luar. Jadi, saya lihat pada waktu ini kita belum mahu meletakkan kuota (untuk kemasukan filem asing)," katanya ketika ditemui media ketika hadir mengadakan sesi libat urus dan jalinan mesra bersama pengusaha pawagam tempatan dan pengedar filem di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Fahmi berkata, pihaknya bersama Finas kini turut memberi perhatian dalam meneliti beberapa platform lain seperti dalam talian berikutan masih berlakunya masalah cetak rompak yang belum dapat dibanteras sepenuhnya lagi.

"Jadi, di situ kami nampak sesetengah negara lain tidak meletakkan pun kuota tayangan bagi kemasukan filem dari luar, tetapi lebih kepada fokus terhadap kuota produksi atau penghasilan kandungan.

"Setakat ini, yang perlu kita berikan fokus bukan kepada kuota itu (tayangan filem asing di pawagam), namun saya melihat lebih kepada keperluan yang harus dimantapkan itu adalah proses kuota produksi," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini Finas juga masih menggalas tanggungjawab membuat penilaian untuk filem sebelum kelulusan ditayangkan pawagam menerusi Skim Wajib Tayang.

"Saya ada meminta Finas agar membuat penilaian semula terhadap Skim Wajib Tayang ini. Malah, antara lainnya bagi melihat dua perkara iaitu proses pembikinan filem itu sendiri untuk memastikan filem berkualiti tinggi dan kedua ialah aspek pemasaran.

"Ini berikutan kalau kita lihat filem yang tidak berjaya mendapatkan kutipan 'box office' (pecah panggung) di pawagam, antara lain adalah kurang membuat pemasaran dan hanya mengharap Skim Wajib Tayang," katanya.

Difahamkan sesi libat urus dan jalinan mesra bersama pengusaha pawagam itu adalah pertama kali dianjurkan Finas bersama Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) sebagai inisiatif menyokong perkembangan industri perfileman dan pawagam bagi mengukuhkan kerjasama pemain industri.

Pada sesi interaktif itu juga antara lain membincangkan isu yang dihadapi oleh pihak pawagam, termasuk cabaran semasa yang memerlukan penyelesaian segera dilakukan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Stategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin serta pengusaha pawagam tempatan dan pengedar filem.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 11:33 AM