Aron menyerahkan buku kepada Kamil
Aron menyerahkan buku kepada Kamil
Aron Koh (empat dari kanan) bersama artis, tetamu dan pengurusan Lomo Pictures
Aron Koh (empat dari kanan) bersama artis, tetamu dan pengurusan Lomo Pictures

Kuala Lumpur: Pengalaman bidang penerbitan filem selama lebih 18 tahun dalam industri seni dikongsikan Aron Koh menerusi penerbitan Buku Lensa: Disebalik Kisah Pembikinan Filem Malaysia.

Aron merangkap Penerbit Eksekutif dan Pengasas bersama produksi Lomo Pictures berkata buku berkenaan diilhamkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta dihasilkan dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Saya mahu berkongsi pengalaman saya dalam menghasil dan menerbitkan filem bersama seluruh karyawan seni disebabkan itu buku ini tidak dijual di mana-mana premis perniagaan.

"Saya sendiri mengambil inisiatif mengedarkannya secara percuma setiap kali terbabit dalam mana-mana program seni," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku itu di sini, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman.

Mengulas mengenai buku terbabit kata Aron, dia percaya ia juga dapat memberi gambaran kepada pihak yang berminat dalam industri perfileman negara supaya memahami peraturan industri, menganalisis proses pembikinan filem dan mengenalpasti faktor kejayaan sesuatu filem.

"Terdapat beberapa peringkat dalam buku ini. Ia membabitkan industri terutama tempoh paling sukar adalah ketika pandemik disusuli perancangan selepas pandemik dan masa hadapan.

"Saya yakin buku ini dapat memberi inspirasi kepada pembikin filem baharu selain mereka yang mengintai peluang selain pendedahan kepada pembikin filem luar negara mengenai industri perfileman dalam Malaysia," kata Aron yang berpengalaman sebagai Pengurus Besar Akademi Filem dan TV Limkokwing serta Pensyarah Kanan Produksi Filem dan TV.

Pada program sama Lomo Pictures turut memperkenalkan beberapa filem dan dokumentari tahun hadapan seperti animasi Tiga Adiwira, filem seram Syaitan Nirrajim, dokumentari Asean Horror dan The Missing Child yang mendedahkan peristiwa mistik.

Menurut Aron kesemua naskhah berkenaan ada di antaranya sedang menjalani penggambaran dan ada juga akan memulakan penggambaran pada tahun depan kerana membabitkan kerjasama beberapa negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 4:40 PM