Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Tiket Konsert Siti Nurhaliza Cinta Di Awan yang akan berlangsung pada 10 Ogos ini di Arena Of Stars, Genting Highlands habis dijual dalam masa kurang sejam selepas kaunter pembelian dibuka hari ini.

Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, dia terharu dan bersyukur dengan sambutan yang diberikan peminat.

"Alhamdulillah, saya terharu dan sangat berterima kasih kepada peminat atas kepercayaan dan sudah mendapatkan tiket.

"Apa yang penting apabila tiket dapat sambutan, saya kena bekerja keras untuk memberikan persembahan dengan impak terbaik," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai konsert lagi, kata Siti, pastinya ia akan memberikannya dan penganjur serta pasukan untuk bekerja lebih bersemangat untuk mempersembahkan sebuah konsert yang diingati peminat.

"Saya percaya ramai dalam kalangan peminat yang terlepas peluang menyaksikan konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza berusaha agar dapat membeli tiket untuk konsert Cinta Di Awan itu," katanya.

Terdahulu, dalam perkongsian di Instagram, Siti berkata, dia meneruskan legasi kariernya dengan memilih untuk mengadakan konsert di sana.

"Persembahan julung kali di Arena Of Stars itu akan menampilkan konsert persembahan cinta setinggi awan yang pastinya mempunyai kelainan tersendiri.

"Kali ini, persembahan saya sebagai satu medium untuk membuktikan rasa cinta dan sayang kepada peminat," katanya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen di Instagram bercampur baur dengan rasa gembira peminat dan juga ada yang meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat membeli tiket konsert berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 4:03 PM