Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf kepada peminat kerana tiada penambahan hari atau jualan tiket bagi Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac depan.

Menurut Siti atau nama sebenar, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, pihaknya terpaksa membuat keputusan terbabit selepas mengambil kira pelbagai faktor.

"Tidak ada pengumuman baharu hari ini. Saya mohon maaf tidak dapat tambah hari dan jualan tiket seperti diminta peminat.

"Kalau saya buat konsert pada 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert berkenaan.

"Pihak saya dan pasukan sudah berfikir masak-masak mengenai perkara itu tetapi selepas berbincang tiada penambahan hari atau jualan tiket," kata Siti ketika ditemui pada sidang media Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza hari ini.

Bagaimanapun, kata Siti, dia akan berusaha untuk menganjurkan konsertnya pada masa akan datang selama dua hari.

"Saya tahu ramai peminat tidak berkesempatan untuk beli tiket kerana ia sudah habis dijual.

Siti Nurhaliza (kanan), menyampaikan cenderamata kepada Radio Rasmi Hot FM dan Kool 101 yang diwakili Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan Hot FM, Kool 101 & Digital, Media Prima Audio, Shah Hayatudin. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Siti Nurhaliza (kanan), menyampaikan cenderamata kepada Radio Rasmi Hot FM dan Kool 101 yang diwakili Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan Hot FM, Kool 101 & Digital, Media Prima Audio, Shah Hayatudin. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Insya Allah, pada konsert seterusnya saya fikir untuk buat selama dua hari," katanya.

Sementara itu, Siti juga memberitahu penyanyi terkenal Indonesia, Judika akan menjadi penyanyi undangan pada konsert skala besarnya nanti.

Tambah Siti lagi, sebahagian jualan tiket konsert itu juga akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu rakyat Palestin yang berada dalam situasi kritikal ketika ini.

Terdahulu, pada 21 Disember lalu, jualan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam selepas ia dibuka untuk jualan kepada peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 4:35 PM