ERNIE muncul dengan album Aura untuk beri inspirasi dan motivasi buat peminat. - FOTO Aziah Azmee
ERNIE muncul dengan album Aura untuk beri inspirasi dan motivasi buat peminat. - FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


Selepas lebih dekad, penyanyi popular, Ernie Zakri akhirnya tampil dengan bingkisan album penuh terbaharu berjudul Aura, khusus untuk kepuasan diri dan memenuhi permintaan peminat setianya.

Menurut Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, Aura adalah album yang dihasilkan untuk menyebarkan nilai positif dan mengembalikan semula keyakinan kepada individu terluka untuk menempuh hari mendatang.

Bagi juara Bintang RTM 2009 ini, album Aura sangat istimewa kerana semua lagu berkisar nasihat, motivasi dan kekuatan untuk menempuh hari mendatang.

"Sebenarnya saya sudah lama impikan konsep album seperti ini kerana mahu sebarkan perkara positif kepada peminat.

"Setiap apa yang kita mahu tampil dalam diri adalah aura positif. Jadi, sebab itu saya namakan album ini Aura," katanya.

Berkongsi perjalanannya sebagai anak seni, kata Erni, dia menganggap tempoh pembabitannya dari 2009 hingga 2015 adalah proses pembelajaran buat dirinya.

"Saya mula berasakan pahit getir dalam bidang seni pada 2016. Jika nak diikutkan, saya pernah hasilkan album pertama pada 2011. Hanya selepas 12 tahun, baru saya kembali dengan album terbaharu Aura yang juga perjalanan yang indah dalam karier seni," katanya.

Mengenai album Aura yang memuatkan 10 lagu itu, Ernie berkata, dia sendiri memilih barisan komposer terkenal dan penerbit untuk projek album yang mengambil tempoh tiga bulan proses rakaman.

Antara komposer dan penulis lirik terbabit ialah Helen Yap, Aubrey Suwito, Ezra Kong, Firdaus Rahmat, John Jeeves, Ade Govinda, Rozi Sangdewi, Slen Fadzil, Faizal Tahir dan Amylea Azizan.

"Saya sendiri yang menghubungi dan meminta lagu daripada komposer hebat terbabit yang rata-rata ada visi sama.

"Alhamdulillah saya juga tidak jangka boleh bekerjasama dengan nama besar seperti mereka," katanya yang turut mencipta dua lagu untuk album Aura.

Lebih bermakna, kata Ernie, suaminya yang juga penyanyi popular, Syamel turut mencipta lagu berjudul Jangan Hilang Percaya untuk dimuatkan dalam album itu.

ERNIE ketika majlis pelancaran album Aura dan pelantikan sebagai duta jenama tudung dan skarf Ayuwan di pusat beli-belah di ibu kota, baru-baru ini. - FOTO Aziah Azmee
ERNIE ketika majlis pelancaran album Aura dan pelantikan sebagai duta jenama tudung dan skarf Ayuwan di pusat beli-belah di ibu kota, baru-baru ini. - FOTO Aziah Azmee

"Saya ceritakan kepada Syamel bagaimana dulu saya sedih dan hilang kepercayaan pada diri sendiri untuk menyanyi di pentas. Saya juga menangis setiap malam kerana lirik ditulis Syamel memberi kesan pada diri.

"Namun, Ernie yang orang lihat sekarang adalah individu yang berbeza kerana kini, saya penuh keyakinan dan percaya dengan kebolehan diri," katanya.

Dalam pada itu, lagu berjudul Masing-Masing bertemakan putus cinta sentuhan Ade Govinda dan Nabila V dipilih menjadi single pertama album Aura.

Mahu lebar sayap ke Indonesia

Mengulas perancangan dalam karier seni, kata Ernie yang kini bernaung di bawah pengurusan Universal Music Malaysia, banyak yang diatur membabitkan aktiviti seni termasuk mengembangkan sayap ke Indonesia.

"Saya sudah sedia untuk ke sana dan syarikat rakaman juga sudah merancang ke arah itu dengan menghantar lagu untuk 'pitching' sinetron di sana.

"Selain itu, saya dan syarikat rakaman juga rancang mengadakan konsert solo tahun depan," katanya.

Sementara itu, rumah tangga yang dibina bersama Syamel juga bahagia dengan kehadiran cahaya mata, Nur Khawla Soleha (Khawla) yang kini berusia setahun setengah.

Sebagai penyanyi yang bergelar isteri dan ibu, Ernie akui cabaran untuk membahagikan masa untuk memastikan rumah tangga dan karier seninya bergerak seiringan.

"Saya dan Syamel bersyukur kerana kami ada pengasuh yang boleh dipercayai untuk menjaga Khawla ketika kami keluar bekerja.

"Syamel juga sibuk buat lagu di studio dan kami tetap mencuri masa untuk bersama Khawla supaya dia tidak terabai," katanya.

Ernie berkata, dia turut membawa Khawla ketika keluar bekerja untuk beri pendedahan padanya mengenai bidang seni sejak kecil.

"Saya mahu Khawla memahami kerjaya kedua-dua ibu bapanya dan dari situ saya juga boleh lihat minatnya ke arah mana kelak. Mungkin dia minat menyanyi dan mengikut jejak kami bila besar nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 6:01 AM