SYAMEL dan Ernie bakal mengadakan konsert buat julung kali pada 23 Oktober depan.
SYAMEL dan Ernie bakal mengadakan konsert buat julung kali pada 23 Oktober depan.
Najiy Jefri


BIARPUN sibuk menguruskan kerjaya seni nyanyian, pasangan romantis, Syamel dan Ernie Zakri tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada puteri tercinta, Nur Khawla Soleha yang kini berusia lima bulan.

Tidak menafikan rezeki mencurah-curah selepas dikurniakan zuriat, Ernie berkata, mereka berdua cuba membahagikan masa sebaik mungkin.

"Tipu kalau saya kata tidak sedih setiap kali keluar bekerja. Tidak lama lagi pun saya akan ke Bandung dan Jakarta, Indonesia untuk rangka promosi Hal Hebat di sana.

"Memikirkan nak tinggalkan anak enam hari pun sudah cukup buat saya rasa sedih, kalau tengok gambar memang meleleh air mata. Khawla pun dah pandai macam-macam sekarang.

"Pada masa sama, saya bersyukur kerana Syamel banyak membantu kalau dia berkelapangan. Biasanya jika saya perlu keluar bekerja, ibu saya datang membantu menjaga Khawla juga," katanya.

Tambah Syamel, meskipun sibuk dengan jadual kerja yang padat, dia dan Ernie akan pastikan mempunyai waktu yang cukup dengan anak mereka.

"Setiap kali memikirkan Khawla bersama pengasuhnya pun sudah buat saya tak tentu arah. Fikir dia tengah buat apa, senyuman dia, tetapi bila di rumah, kami pastikan dia sepenuhnya bersama kami. Harapnya bila dah besar, Khawla faham kerja daddy dan ibunya," katanya.

SEBANYAK 23 lagu bakal dipersembahkan Syamel dan Ernie.
SEBANYAK 23 lagu bakal dipersembahkan Syamel dan Ernie.

Konsert sulung

Keserasian yang ditampilkan Syamel dan Ernie dalam setiap persembahan yang dibawakan sering kali mendapat pujian daripada orang ramai.

Siapa sangka, impian peminat untuk melihat dua figura itu beraksi dalam sebuah konsert akhirnya tercapai.

Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta direncanakan berlangsung pada 23 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah ini adalah impian kami berdua untuk mengadakan konsert bersama sejak sekian lamanya. Bagaimanapun, disebabkan pandemik perancangan itu beberapa kali tertangguh.

"Kami bercadang menamakannya Konsert Syamel & Ernie Zakri: Aku Cinta kerana lagu Aku Cinta menjadi titik permulaan yang menemukan kami berdua. Melalui lagu terbabit juga kami dikenali sebagai pasangan duet sampai sekarang," kata Syamel yang bakal melancarkan album sulung tidak lama lagi.

SYAMEL, Ernie imbau memori perkenalan mereka menerusi konsert pada Oktober depan.
SYAMEL, Ernie imbau memori perkenalan mereka menerusi konsert pada Oktober depan.

Bagi Ernie, konsert terbabit adalah waktu terbaik untuk menghargai peminat tercinta yang lama menantikan saat ini.

"Konsert ini adalah apresiasi teristimewa daripada Ernie dan Syamel khas buat peminat yang menyokong kehadiran kami sejak dari awal dan terus-menerus memberi sokongan serta semangat untuk terus berkarya dan berjuang dalam bidang seni," katanya.

Biarpun teruja dengan konsert sulung itu, Ernie bagaimanapun mengaku bimbang sambutan peminat terhadap konsert itu yang menawarkan tiket pada harga serendah RM200 hingga RM500.

"Dari awal lagi saya tertanya-tanya adakah peminat datang menyaksikan konsert kami? Tetapi, saya tidak mahu serabutkan fikiran dengan terlalu memikirkan perkara itu.

"Fokus saya dan Syamel adalah memberi yang terbaik buat penyokong kami. Selain itu, ada banyak kejutan," katanya yang meletakkan kekuatan konsert kepada susunan lagu di bawah pimpinan Aubrey Suwito.

Bagi memantapkan mutu vokal mereka, Ernie dan Syamel mengikuti kelas vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat sejak sebulan lalu.

Menyentuh tema Aku Cinta, Syamel tidak menafikan konsert yang dibawa Rocketfuel Entertainment itu berkisar kisah cinta mereka.

"Pada awalnya, kami mahu ketengahkan tema ala teater muzikal. Selepas difikirkan semula, ini adalah konsert pertama kami.

"Jadi, kami ingin bercerita kisah di sebalik pertemuan pertama, percintaan dan perjalanan hidup masing-masing," katanya.

Pada konsert lebih dua jam itu, Syamel dan Ernie bakal mendendangkan 23 lagu termasuk yang dipopularkan penyanyi lain.

Pembeli tiket Diamond bernilai RM500 berpeluang menghadiri sesi ramah mesra bersama Syamel dan Ernie selain mendapat cenderahati eksklusif.

Tiket yang dijual melalui platform Ubertickets.my boleh dibeli sejak Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 6:20 AM