ENGGAN berada di zon selesa dalam kerjaya, Syamel keluar dari Rocketfuel untuk urus kerjaya sendiri. - FOTO Hazreen Mohamad
ENGGAN berada di zon selesa dalam kerjaya, Syamel keluar dari Rocketfuel untuk urus kerjaya sendiri. - FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


MEMULAKAN kembara nyanyiannya di bawah bumbung Astro dan Rocketfuel Entertainment, kerjaya Syamel dipacu dengan jayanya ke kemuncak sehingga tahap dikecapinya sekarang.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 29, takkan lupa dan sentiasa bersyukur menjadi artis naungan label itu. Apatah lagi sebumbung dengan isterinya, Ernie Zakri pula.

Namun, penyanyi lagu Hidup Dalam Mati itu enggan terus selesa dan kini mengorak langkah berani mencuba haluan berbeza.

Syamel mengesahkan dia tidak lagi bersama Rocketfuel Entertainment dan kini menguruskan kerjayanya sendiri.

Syamel berkata, pergerakannya selepas ini pasti akan berbeza dan tidak 'melekat' setiap masa lagi bersama Ernie. Apapun, pembaharuan itulah yang perlu ditempuhi demi mencapai kemajuan diri diingini.

"Tahun ini saya ada perbezaan sedikit dari segi karier sebab saya dan Ernie sudah tidak di bawah 'bumbung' yang sama. Ernie masih lagi bersama Rocketfuel tapi saya tidak.

"Jadi, memang terdapat perbezaan jadual antara kami. Tujuh tahun bersama dengan Astro, semua hal jalan sekali dan sekarang pertama kali kami ada jadual berasingan. Insya-Allah dapat permudahkan urusan kami.

"Buat masa sekarang saya bergerak sendiri dulu sehingga berjumpa mana tempat yang terbaiklah. Saya nak cuba perkara baharu sebab sudah lama sangat saya bersama dengan Rocketfuel," katanya.

Syamel akui tidak terbit pun kegusaran dalam diri selepas meninggalkan bumbung selesanya itu. Dia yakin perancangan yang sudah diatur untuk kerjaya muziknya pada hari mendatang jadi penggerak penting.

Penyanyi yang cukup disanjung dengan kemampuan hebat menyanyi genre balada juga takkan mengubah apa-apa dari segi nyanyiannya.

"Setakat ini, belum ada apa-apa masalah cuma saya memutuskan untuk bergerak sendiri. Ada beberapa perancangan tahun ini, insya-Allah.

"Saya pun ada beberapa lagu yang nak dilancarkan tahun ini. Hala tuju muzik akan sama saja, saya takkan ubah," katanya.

Mendirikan rumah tangga dengan Ernie pada Mac 2021, mereka terus diulit kebahagiaan apatah lagi dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Khawla Soleha yang kini berusia setahun.

Pada masa sama, kegembiraan itu semestinya disusuli dengan komitmen baharu yang penting.

SYAMEL dan isterinya Ernie tingkat usaha demi masa depan anak mereka, Khawla. - FOTO Hazreen Mohamad
SYAMEL dan isterinya Ernie tingkat usaha demi masa depan anak mereka, Khawla. - FOTO Hazreen Mohamad

Syamel berkata, bergelar ibu dan bapa menjadi pemangkin untuk mereka melipatgandakan usaha dalam kerjaya.

"Selalunya perkahwinan adalah perkara paling ditakuti mereka yang bergelar penyanyi atau artis. Tapi, pengakhirannya saya dan Ernie sentiasa percaya dengan rezeki.

"Bila sudah ada penambahan seorang lagi anggota keluarga, semestinya momentum kerja kena lebih lagi. Kami pun sama saja seperti pasangan lain yang sudah ada anak.

"Usaha itu memang kena lebih sangat-sangat. Disebabkan itulah kami mengambil langkah, selain menyanyi, kami jual sambal," katanya.

Aktif menjual sambal juga membuka langkah dia dan Ernie makin rancak aktif di TikTok. Bukan sekadar mengaut untung, malah dia menyedari platform itu sangat berguna untuk mendekatkan diri dengan peminat.

"Bukanlah pakar dengan TikTok, tapi kami nampak peluang untuk berborak dengan peminat apabila buat 'live'. Sambil berjual dan mengeratkan silaturahim. Kami lihat TikTok itu satu komitmen baharulah," katanya.

Namun, Syamel tidak berhajat untuk alihkan fokus terus-menerus cari untung di TikTok sebagaimana dilakukan selebriti lain. Dia tahu komitmen boleh berpecah dan kena bijak dahulukan yang mana.

"Siapa saja ada komitmen baharu, memang kena kurangkan fokus terhadap pekerjaan utama yang dibuat. Contohnya kebanyakan penyanyi atau pelakon, bila mereka sudah buat perniagaan, akan kurangkan aktiviti seni.

"Tapi, kalau macam kami, kami masih lagi seronok lakukan pekerjaan utama kami. Untuk fokus 100 peratus dalam TikTok itu, ia perlukan masa. Yang mana, kemungkinan besar karier nyanyian kami pun nanti kena kurangkan.

"Itulah kami tiada ketetapan masa setiap kali 'live' di TikTok. Seminggu sekali atau dua kali, alhamdulillah dapat sambutan dan orang pun suka. Jadi, kami teruskan buat cara begitu saja dan taklah sampai ke berhenti menyanyi sekejap.

Berkongsi mengenai anaknya Khawla dan Aidilfitri yang kian menjelang, Syamel dapat merasakan perbezaan terutama buat puteri mereka itu. Paling menyeronokkan pastinya duit raya yang bakal diterima anaknya kelak.

Dia dan Ernie berhajat memanfaatkan duit raya diterima anaknya nanti sebagai tabungan penting.

"Bila sudah 'dapat' kaki, mungkin raya tahun ini lebih meriah sebab dia dah mula kenal dan berinteraksi dengan orang. Lainlah jika dibandingkan tahun lalu, dia banyak diam saja, asyik kena tidurkan.

"Tahun ini, kami sudah lancarkan satu tabung untuk anak kami. Tak kisahlah dapat berapa tapi saya dan Ernie sudah kumpulkan untuk tabung dia termasuk duit raya tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 6:00 AM