KELETAH Khawla sentiasa membuatkan pasangan selebriti ini tersenyum.
KELETAH Khawla sentiasa membuatkan pasangan selebriti ini tersenyum.
Syafil Syazwan Jefri


MENJADI ibu bapa banyak mengubah keperibadian pasangan bergelar suami isteri. Perubahan itu juga yang dirasakan pasangan selebriti Ernie Zakri dan Syamel yang kini menjadi ibu bapa kepada puteri mereka, Nur Khawla Soleha.

Bukan sahaja dari sudut perasaan, Ernie dan Syamel juga masing-masing kini mengalih tujuan dan tanggungjawab mereka mencari rezeki dalam industri seni ini.

"Khawla dah masuk empat bulan dan saya rasa sangat gembira membesarkannya. Perkembangan yang ditunjukkannya itu membuatkan saya rasa bersyukur kerana dia berikan kesihatan yang baik.

"Apa yang saya dan suami buat sekarang semuanya demi anak. Kalau dahulu, kami bekerja keras demi memajukan diri sendiri, tapi kini kalau buat persembahan atau dapat tawaran kerja, ia demi anak.

"Kalau dahulu kami serius dalam bekerja, sekarang kami lebih serius sebab kami nak berikan yang terbaik buat anak. Itu yang berbeza berbanding sebelum ini," kata Ernie.

Melihat keletah puterinya sentiasa membuatkan Ernie tersimpul senyum.

"Empat bulan, belum banyak benda yang dia boleh buat. Tapi, keletahnya sentiasa membuatkan kami tersenyum dan tak sabar untuk pulang setiap kali berada di luar untuk bekerja," katanya.

Menyentuh mengenai rasa dan perasaan, Ernie tidak menafikan bahawa hatinya kini lebih sensitif.

"Saya pun tak tahu bagaimana nak dijelaskan, tetapi suami saya sendiri melihat kerapatan saya dengan Khawla. Saya cepat rasa rindu dan jiwa saya lebih sensitif selain mudah tersentuh.

"Banyak juga perkara yang bermain dalam fikiran saya. Mungkin sebagai ibu dan wanita yang memiliki anak perempuan, saya faham bagaimana proses untuk dia membesar kelak di samping orang sekeliling.

"Di sudut hati saya, saya sentiasa berdoa supaya dia dijauhkan daripada perkara yang tak elok," katanya.

SYAMEL beri tumpuan kepada anak sulungnya.
SYAMEL beri tumpuan kepada anak sulungnya.

Bagi Syamel yang juga ketua dalam keluarga kecilnya, tanggungjawabnya bukan sekadar menjaga keluarganya, tetapi juga membuat percaturan untuk jangka panjang.

"Kerja kami tak sama seperti orang lain. Ada ketikanya, kami bekerja seminggu dan ada ketikanya kami hanya di rumah selama seminggu.

"Setiap kali nak keluar bekerja, saya tak nafikan memang menitis juga air mata nak tinggalkan anak.

Mungkin berlebihan di mata orang lain, tapi bagi saya, mungkin sebab ini cahaya mata dan pengalaman pertama kami.

"Saya dan Ernie saling mengingatkan antara satu sama lain, kita bekerja demi anak kita. Tambahan pula, baru-baru ini tular mengenai gelombang baharu Covid-19.

"Jadi, kita tak tahu apa yang akan berlaku dalam dua ke tiga bulan akan datang. Bila berfikir mengenai apa yang akan berlaku kepada industri, itu menimbulkan kerisauan. Jadi, selagi mampu, teruskan bekerja," katanya.

Berkongsi mengenai perkongsian di media sosial, pasangan ini terbuka untuk berkongsi rasa bahagia mereka di samping menjadikan media sosial terutama Instagram sebagai album kenangan.

"Kami gembira untuk kongsikan rasa bahagia kami bersama Khawla walaupun pada awalnya, kami ambil masa juga sebelum terbuka. Kami tak ada niat lain selain nak kongsikan yang baik-baik.

ERNIE dan Syamel tumpukan perhatian untuk konsert sulung mereka Oktober depan.
ERNIE dan Syamel tumpukan perhatian untuk konsert sulung mereka Oktober depan.

"Bagaimanapun, kami tidak berlebih-lebih dalam berkongsi. Ada kalanya, saya rakamkan keletah Khawla yang mencuit hati, tap tak semuanya kami muat naik ke Instagram," kata Ernie.

Tambah Ernie, itu lebih kepada kenangan di masa akan datang.

"Apabila Syamel kehilangan arwah ummi (ibu), dia mencari semula video lama dengan ummi. Jadi, saya nak raikan detik-detik bersama Khawla kerana kita tak tahu usia kita sampai bila," katanya.

Ditanya mengenai penajaan daripada jenama tertentu untuk anak mereka, Syamel berkata, dia dan Ernie menerima dengan hati terbuka.

"Itu juga satu bentuk rezeki dan sekiranya ada, kami terbuka untuk menerimanya. Apa pun, semuanya berbalik kepada rezeki," kata Syamel.

Terbaharu, pasangan ini memberi tumpuan untuk konsert sulung mereka, Ernie Zakri x Syamel Live Concert yang berlangsung pada 23 Oktober depan di Zepp KL.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 7:00 AM