Sufian Suhaimi
Sufian Suhaimi
Ramlah Zainal


Subang Jaya: Penyanyi dan komposer, Sufian Suhaimi mengesahkan hubungannya dengan kekasih, Rania Al Sadat sudah putus dan mereka kini sudah membawa haluan masing-masing sejak Mac lalu.

Sufian, 32, berkata, keputusan itu dibuat bersama oleh kedua-dua belah pihak dan dia juga sudah memulangkan cincin merisik Rania pada minggu kedua Ramadan lalu.

Kata penyanyi Ku Dimatamu itu, dia menganggap tiada jodoh untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya itu pada tahun ini.

"Kami berpisah kerana tidak sehaluan dan bukan berpunca dari orang ketiga.

"Kedua belah pihak juga menerima dengan hati terbuka dan tiada perasaan dendam.

"Kami tidak bergaduh kerana kalau nak diikutkan ada perancangan nak bernikah dari tahun lalu cuma ada perkara perlu dibincangkan sebab perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat dengan tergesa-gesa," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis Iftar Raya 2024 bersama artis Rusa Music dan MVM Production yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Mengenai hubungan dengan Rania, kata Sufian, mereka juga masih berkawan dan dia juga mendoakan yang terbaik buat bekas kekasihnya itu.

"Bagi saya itulah 'hikmah' di sebalik adat merisik yang dibuat sebelum ini iaitu proses untuk kami saling mengenali.

"Saya sangat bersyukur kerana dapat mengenali dirinya dan ahli keluarganya juga sangat baik dengan saya sampai hari ini.

"Kami juga mengharapkan kebahagiaan buat diri masing-masing. Kami percaya, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan. Mungkin ada peluang untuk kami kembali bersama nanti," katanya.

Diminta mengulas dakwaan hubungan cintanya dengan Rania hanya sekadar konten untuk dia kekal relevan dalam industri, Sufian menafikannya.

"Siapa yang cakap percintaan saya ini sebagai konten semata-mata tak baiklah. Sebab mana ada orang nak memperdagangkan cinta terutama saya yang tak suka berkongsi masalah peribadi.

"Jauh sangat untuk saya ketengahkan hubungan cinta sebagai teknik pemasaran atau cara kekal relevan dalam industri," katanya.

Terdahulu, tular klip video di media sosial yang memaparkan seorang wanita dipercayai ibu Sufian menyarung cincin di jari manis seorang gadis, sekali gus mencetuskan spekulasi sama ada penyanyi terkenal itu sudah bertunang.

Sufian juga mengakui itu adalah majlis merisik yang berlangsung secara tertutup dengan dihadiri keluarga kedua belah pihak pada Oktober tahun lalu.

Namun, pada Mac lalu, warganet mulai membuat spekulasi hubungan mereka sudah berakhir selepas kedua mereka tidak lagi saling mengikuti di akaun Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 12:13 PM