Foto perkongsian Sufian dan bakal isteri dikenali Rania di media sosialnya, semalam.
Foto perkongsian Sufian dan bakal isteri dikenali Rania di media sosialnya, semalam.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Sufian Suhaimi, 31, sudah selamat merisik kekasih hatinya dikenali Rania, 23, pada satu majlis tertutup dihadiri keluarga dan kenalan rapat yang berlangsung di kediaman wanita itu, semalam.

Sufian atau mesra dengan panggilan 'baby Pian' berkata, ia bukan gimik pembikinan muzik video lagu baharunya, tetapi memang majlis merisik yang betul sebelum mereka melangkah ke fasa perkahwinan.

"Alhamdulillah, majlis merisik itu berjalan dengan lancar semalam dan ia sama sekali bukan gimik untuk pembikinan muzik video lagu baharu saya atau sebagainya. Saya memang dah sedia untuk tamatkan zaman bujang.

"Saya dan Rania merancang untuk majlis perkahwinan kami diadakan pada Disember depan atau Januari 2024, bergantung pada lokasi majlis dan segala persiapan kami berdua," katanya kepada Harian Metro.

Sufian berkata, dia berterima kasih kepada semua yang mendoakan segala kebaikan dan kebahagiaan buatnya serta kekasih dengan berharap segala perancangan mereka untuk melangkah ke jenjang pelamin dipermudahkan Allah.

Terdahulu, tular satu hantaran video tular di platform TikTok menerusi perkongsian daripada akaun milik hairamikayla00 yang memaparkan Sufian bersama keluarganya hadir di kediaman Rania bagi tujuan merisik.

Rata-rata netizen yang menonton video TikTok itu mengucapkan tahniah dan mendoakan ikatan hubungan Sufian dan bakal pasangannya kekal hingga ke jenjang pelamin kerana sama cantik dan sama padan.

Sebelum ini, kisah hubungan penyanyi lagu Di Matamu itu bersama wanita berkenaan pernah menjadi perhatian media pada April lalu ketika mereka hadir di majlis perkahwinan penyanyi dan pelakon Aiman Tino.

Namun, Sufian sekadar memperkenalkannya dengan panggilan 'Sayang' dan berusia 23 tahun serta memaklumkan mereka saling mengenali daripada kawan pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 3:32 PM