Sheeda dan anak ketiganya, Allahyarham Nur Fazlinda atau Alin.
Sheeda dan anak ketiganya, Allahyarham Nur Fazlinda atau Alin.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyanyi dangdut, Sheeda, 60, menyifatkan dia tidak puas menjaga anaknya, Allahyarham Nur Fazlinda Ahmad Fazli atau Alin, 24, yang sakit akibat kanser hati di hospital kerana terlalu sekejap.

Sheeda atau Sayyida Beevi M Shahul Hameed berkata, tempoh sebulan untuknya menjaga sepenuh perhatian kepada arwah anak perempuannya itu amat singkat dan akhirnya 'pulang' ke pangkuan Allah SWT pada pagi Khamis lalu.

"Alin (Allahyarham) hidap kanser hati, sakitnya dalam perut," katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi kiriman mesej di WhatsApp.

Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Sheeda meluahkan rasa berat dihatinya untuk melepaskan arwah Nur Fazlinda yang juga bidadari 'syurganya' itu.

"Berat rasa nak melepasmu, berat lagi melihat anak mama sakit, jadi kembali lah kepada penciptaMu, itu saja pilihan yang terbaik. InsyaAllah, Alhamdulillah nanti tunggu mama ya?

"Allah pinjamkan anak mama selama 24 tahun saja, cukup mama bahagia melalui kehidupan kita bersama, nanti kita akan bersama lagi tau.

"Sebulan menjaga Alin sakit sekejap saja, tak puas jaga Alin dah tinggalkan mama, apapun Alin terlalu baik dan tidak ada sedikit dosa pun juga dengan papa, itu sebab Allah lebih sayangkan Alin dari mama," tulisnya.

Pada 28 Mac lalu, anak kedua Sheeda yang juga penyanyi dan pelakon, Bienda berkongsi di akaun Instagram miliknya mengenai berita kehilangan adik perempuannya itu yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 pagi.

Mewakili arwah adiknya, Bienda atau Nor Razlinda Razli, 39, memohon maaf andai ada kesalahan Alin atau Faz yang pernah melukakan hati sesiapa yang mengenali, termasuk halalkan makan dan minumnya juga.

Jenazah Allahyarham Alin disembahyangkan di Masjid Zaid Bin Haritsah, Gombak dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak selepas Asar.

Arwah Alin adalah cahaya mata Sheeda bersama bekas suami keduanya, Ahmad Fazli Mohammad yang bercerai di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ketika Allahyarham berusia 13 tahun.

Menerusi perkahwinan pertama, Sheeda yang popular dengan lagu Angkat Kaki itu dikurniakan dua anak iaitu Bienda dan abangnya, Hafizul Razli. 

Pada 2007, Sheeda bertemu jodoh kali ketiga dengan guru, Sukri Hashim, namun bercerai pada 2019 lalu dan hasil perkahwinan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Aiman, 16. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 10:33 AM