KEMBALI kepada Allah adalah sebaik-baik jalan apabila ditimpa kesedihan.
KEMBALI kepada Allah adalah sebaik-baik jalan apabila ditimpa kesedihan.
Norhayati Nordin


Kira-kira seminggu lagi, Ramadan akan berlalu dan Syawal pula menjelma. Semoga Ramadan kali ini memberi kita keinsafan dan juga memperoleh banyak rahmat daripada Allah SWT.

Hampir sebulan umat Islam berpuasa, banyak peristiwa berlaku dalam negara yang antaranya membawa kekesalan, keinsafan dan kesedihan yang sukar diungkap.

Rasa kesal yang dimaksudkan adalah insiden stoking kalimah 'Allah' yang tidak sepatutnya berlaku kerana di negara ini memang termaktub undang-undang agar menghormati pegangan agama orang lain.

Tapi, sebaliknya berlaku pada awal Ramadan lalu, namun Allah Maha Mengetahui. Tidak akan terjadi sesuatu perkara itu tanpa izin Allah dan semoga hukuman setimpal buat mereka yang terlibat.

Bagi keinsafan pula, tentunya kisah usahawan yang kini muflis iaitu Datuk Red atau Datuk Seri Adenan Abu. Kini, setiap hari kisah suami penyanyi Adira Suhaimi ini dipapar di media.

Meneliti kisah dugaan hidup Datuk Red ini, banyak pengajaran yang boleh kita ambil untuk jadikan teladan atau iktibar. Antaranya rezeki itu milik Allah dan Dia yang memberi serta Dia juga boleh menariknya bila-bila masa.

Dalam kehidupan, kita selalu diingatkan jangan tersilap langkah, tapi ramai saja yang seperti Datuk Red ini umpama 'sudah terhantuk baru terngadah'. Tapi, alhamdulillah Allah masih sayang dan beri jalan keluar kepadanya.

Berhadapan kesempitan hidup sejak lima tahun lalu untuk menyara keluarga serta perlu melunaskan hutang berjuta ringgit, pengakuan Datuk Red dalam videonya di TikTok baru-baru ini membuahkan hasil dan memberi 'sinar' baharu buatnya.

Siapa sangka rezekinya bertali arus daripada mula menjadi model baju Melayu untuk gedung pakaian terkemuka, termasuk ditawarkan pekerjaan oleh jenama kambing perap popular, kini Datuk Red menjual kuih raya.

Cabang rezeki Allah ini luas dan tiada siapa dapat menutup rezeki seseorang itu melainkan Allah saja yang boleh berbuat demikian. Semoga 'peluang kedua' Datuk Red mencari rezeki halal ini tidak disia-siakannya.

Seiring Ramadan sebagai bulan penuh rahmat dan keampunan, cubalah kita bersihkan hati, bersihkan niat serta apa saja yang kita lakukan ikhlas kerana Allah. Ia nampak macam mudah, tapi tidaklah seperti petik jari dan sekelip mata kita dapat semuanya!

Apa-apa pun, kehidupan manusia juga tidak lengkap tanpa kesedihan dan antara ujian berat untuk kita hadapi adalah ketika 'kehilangan' ahli keluarga tersayang buat selama-lamanya.

Tiada ibu bapa sanggup kehilangan anak, begitu juga tiada anak ingin kehilangan ibu dan bapa mereka atau kedua-duanya sekali. Namun inilah lumrah kehidupan yang sudah ditetapkan Allah.

Pada 28 Mac lalu bersamaan Nuzul al-Quran, penyanyi Sheeda dangdut kehilangan anak perempuan tersayang, Allahyarham Nur Fazlinda Ahmad Fazli atau Alin, 24,
yang meninggal dunia akibat
kanser hati.

Begitu juga, ujian sama dihadapi pemain dram kumpulan Stings, Jaly atau Razaleigh Alkamal yang kehilangan anak lelakinya, Allahyarham Muhammad Fariz Hakimi, 19, akibat nahas jalan raya pada 11.30 malam, Ahad lalu.

Pastinya sukar menggambarkan kesedihan dialami kerana anak yang 'pergi' itu masih pada usia muda, namun Allah Maha Mengetahui. Dengan keredaan ibu bapa, semoga roh mereka dicucuri rahmat disisi-Nya.

Umpama kata Sheeda, Allah 'meminjamkan' arwah Alin kepadanya 24 tahun saja dan tempoh itu singkat, namun dia reda dengan ketentuan takdir hidup anaknya itu.

Ini kerana, meskipun rasa berat nak melepaskan, tapi berat lagi untuk seorang ibu melihat anaknya menanggung kesakitan, jadi kembali kepada Sang Pencipta adalah pilihan terbaik.

Justeru, di kesempatan Ramadan yang masih ada ini, marilah kita semua terus berdoa, memanjatkan rasa kesyukuran dan berdamai dengan takdir. Allah sebaik-baik perancang dan semoga kita semua mendapat 'pengakhiran' yang baik.


Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 6:01 AM