Sheeda dan anak ketiganya, Allahyarham Nur Fazlinda atau Alin.
Sheeda dan anak ketiganya, Allahyarham Nur Fazlinda atau Alin.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Penyanyi dangdut, Sheeda, 60, tidak menduga anak ketiganya, Allahyarham Nur Fazlinda Ahmad Fazli atau Alin, 24, menghidap kanser hati 'agresif' yang merebak dan menyerang organ badan dalam jangka masa singkat.

Sheeda atau nama sebenarnya, Sayyida Beevi M Shahul Hameed berkata, Allahyarham Alin mengetahui berita sedih mengenai kanser hati dihidapinya itu pada hari ulang tahunnya ke-24 iaitu 3 Mac lalu.

"Sebagai ibu yang selalu bersama dengannya dan kami tinggal berdua di rumah amat terkejut, tetapi saya kuatkan semangat untuk tidak nampakkan kesedihan di hadapannya.

"Pernah dia cakap dengan saya, kenapa Alin yang kena mama?, namun saya kata Allah dah pilih Alin sebab nak bagi pahala syurga untuk anak mama dan arwah reda dengan meminta agar saya tidak bersedih," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Angkat Kaki ini, dia bersyukur segala urusan menguruskan jenazah anak perempuannya itu dipermudahkan Allah dan berjalan lancar dengan semuanya dilakukannya sendiri.

"Demi janji saya kepada arwah Alin tidak akan bersedih dan kuat semangat pada hari 'pemergiannya', tiada setitik air mata saya pun yang mengalir. Tetapi, selepas saja pengebumian arwah selesai dan balik ke rumah, saya terus menangis tanpa henti.

"Saya reda, tetapi masih amat terkejut mengenangkan Alin sudah tiada dan pergi buat selama-lamanya meninggalkan saya seorang diri di rumah. Saya sudah tiada lagi kawan baik, pembantu peribadi, jurusolek dan sebagainya.

"Arwah Alin adalah anak syurga saya yang sangat baik. Tutur katanya lembut dan tidak pernah meninggi suara apabila bercakap. Malah, dia turut berhasrat mahu menjaga saya serta taknak saya bersusah-payah bekerja lagi," katanya.

Menurut Sheeda, Allahyarham juga ada meluahkan keinginan agar dia dan bekas suami, Ahmad Fazli dapat hadir bersama pada majlis konvokesyennya yang akan menggenggam Ijazah Kewangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada September depan.

"Dia juga sebenarnya sudah mendapat tawaran kerja di Public Bank, namun Allah lebih menyayanginya dan tidak mahu dia menanggung sakit yang lama. Hampir sebulan saja Alin diuji dengan sakit yang dihidapi itu.

"Apapun, saya ingin mohon kepada semua agar membantu sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Alin. Hanya Allah saja dapat membalasnya dan saya sangat-sangat berterima kasih," katanya.

Pada 28 Mac lalu, anak kedua Sheeda iaitu penyanyi Bienda, 39, berkongsi di akaun Instagram miliknya mengenai berita kehilangan Alin yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 pagi.

Alin adalah anak Sheeda bersama bekas suami keduanya, Ahmad Fazli Mohammad. Mereka bercerai ketika Allahyarham berusia 13 tahun.

Menerusi perkahwinan pertama, Sheeda dikurniakan dua anak iaitu Bienda dan abangnya, Hafizul Razli. 

Sheeda juga bertemu jodoh kali ketiga dengan guru, Sukri Hashim, pada 2007, namun bercerai pada 2019 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Aiman, 16. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 4:46 PM