SHEEDA akui ada rakam lagu duet dengan anaknya, Aleen.
SHEEDA akui ada rakam lagu duet dengan anaknya, Aleen.
HM Digital

MINAT pada nyanyian yang sebati dalam diri Sheeda takkan pernah pudar dan hilang.

Namun, akur dengan situasi Covid-19 ketika ini dia memilih menangguhkan pelancaran lagu baharunya dahulu.

Sheeda, 57, yang pernah popular dengan lagu Angkat Kaki pada era 1990-an berkata, dia rela terus menunggu hingga penularan Covid-19 reda untuk melancarkan single terkini yang sudah lama dirakamkan.

"Proses rakaman lagu memang sudah lama siap, tapi untuk melancarkan nampaknya perlu ditangguh lagi. Bagi saya, sekarang tak sesuai pun dan biar dulu, jangan terburu-buru.

"Ikutkan lagu baharu ini cukup istimewa kerana saya dapat berduet dengan anak, Norfazlinda Ahmad Fazli atau Aleen menerusi lagu dangdut berjudul Sakiti Hati Ini. Apapun, tak apalah kena simpan lagi.

"Bagi saya, sampai rezeki nanti pasti dilancarkan. Namun, buat masa ini biar kami nyanyi di rumah saja kerana vokal tetap kena asah walaupun tiada tawaran persembahan," katanya

Teruja bergabung menyanyi dengan anaknya, Sheeda berkata, single duet dengan Aleen, 21, itu akan dilancarkan juga apabila tiba masanya.

"Saya pun sudah setahun tak menyanyi apabila tawaran persembahan dibatalkan kerana penularan Covid-19 menular. Namun, saya okay sahaja dan positif teruskan kehidupan.

"Sebagai ibu tunggal saya kena kuat demi anak-anak. Alhamdulillah, mereka semua sentiasa ada di sisi saya pada setiap masa dan itu nikmat yang paling besar serta bermakna," katanya.

Berbicara mengenai bakat nyanyian Aleen katanya, ia diwarisi kerana seorang lagi anaknya, Bienda juga aktif menyanyi satu ketika dulu. Namun, Aleen masih belajar dan pendidikannya lebih diutamakan.

"Apapun, saya tak paksa Aleen mengikut jejak saya. Dia menyanyi kerana dia meminatinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:33 AM