KEADAAN kereta dinaiki Sheeda dan adik angkatnya, Ain.
KEADAAN kereta dinaiki Sheeda dan adik angkatnya, Ain.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut, Sheeda terbabit dalam kemalangan di Jalan Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Anaknya yang juga penyanyi dan pelakon, Bienda ketika dihubungi berkata, dia bersyukur apabila ibunya tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun trauma dengan kejadian itu.

Bienda berkata, kejadian berlaku ketika dinaiki Sheeda bersama adik angkatnya, Ain dirempuh sebuah kenderaan lain ketika keluar dari simpang.

"Mama ada undangan persembahan di Negeri Sembilan dan bertemu dengan adik angkatnya, Ain yang datang dari Johor, semalam.

"Malangnya ketika mama memandu kereta Ain untuk keluar minum, ia dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju.

"Mujurlah tiada kecederaan teruk, cuma mama agak trauma sebab dia jarang memandu di luar kawasan dan mengalami hentakan kecil di bahagian dada ketika cuba mengawal kereta. Alhamdulillah dia berada dalam keadaan baik ketika saya bertemunya semalam," katanya.

Menurut Bienda, ibunya sudah membuat laporan polis dan kini sedang berehat di rumah.

"Individu yang melanggar mama tiada lesen memandu dan difahamkan berada dalam keadaan separuh sedar. Ketika mama mahu membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru, Jempol, dia minta selesaikan perkara itu dengan memberi pelbagai alasan.

"Namun, mama tetap membuat laporan kerana kejadian semalam membahayakan orang lain. Individu itu tidak sepatutnya memandu dengan laju di kawasan kampung. Mujurlah mama dan Ain berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Sheeda tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej yang dihantar tidak dijawab.

Semalam, Sheeda memuat naik satu hantaran video memaklumkan dia terbabit dalam kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:45 PM