SHEEDA mahu lebih berhati-hati dalam berpakaian.
SHEEDA mahu lebih berhati-hati dalam berpakaian.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas lebih 20 tahun bergelar penyanyi, Sheeda Dangdut kini merasai kesan daripada media sosial terutama Instagram.

Pelbagai respons diberikan peminat setiap kali dia berkongsi sesuatu di Instagram, namun dia sentiasa melihat komen itu dari sudut positif.

“Sebelum muncul dalam program Gegar Vaganza, saya hanya ada beberapa pengikut saja di Instagram. Sekarang, alhamdulillah jumlah pengikut semakin meningkat dan hampir mencecah 58,000 orang.

“Ramai yang memberikan komen setiap kali saya memuat naik gambar atau aktiviti terbaru. Biasalah, tentunya akan ada komen positif dan negatif,” katanya.

Bercerita mengenai komen peminat, Sheeda berkongsi cerita mengenai salah satu gambar dia mengenakan gincu hitam yang mendapat perhatian ramai.

Sheeda berkata, antara komen yang menarik perhatiannya ialah dia dikatakan seperti Valak iaitu watak hantu dalam filem seram popular The Conjuring 2.

“Pada awalnya, saya tertanya-tanya juga siapa Valak yang dimaksudkan. Kemudian barulah saya tahu ia watak hantu dalam filem itu. Memang lucu dan saya pun memaklumkan kepada peminat itu saya tidak akan memakai gincu berwarna gelap seperti itu lagi. Saya tidak marah atau melenting kerana bagi saya, kalau peminat memberi komen, ertinya mereka memberi perhatian dan inginkan yang terbaik untuk saya,” katanya.

Disebabkan semakin ramai pengikut yang mengambil berat mengenai dirinya, dia memilih untuk lebih berhati-hati dalam berpakaian.

“Dulu pun, saya bukanlah berpakaian terlalu seksi. Namun, kini saya perlu lebih berhati-hati dalam berpakaian kerana saya perlu juga menjaga hati peminat yang sayangkan saya.

“Ramai juga peminat yang bertanya bila saya akan berhijab. Insya-Allah, hati saya semakin terbuka untuk berubah ke arah kebaikan,” katanya.

Dapat tajaan

Sheeda juga bersyukur kerana banyak syarikat pelbagai produk dan jenama mula memberikan tajaan.

“Alhamdulillah, pada usia begini pun masih banyak lagi pihak yang ingin memberikan penajaan kepada saya. Untuk video muzik lagu baru saya nanti pun, sudah ada pihak ingin menjadi penaja,” katanya.

Terbaru, Sheeda kini bakal muncul dengan single terbaru­nya, Angkat Tangan.

“Untuk lagu baru ini, saya merancang menampilkan selebriti remaja yang bersesuaian bagi menarik minat generasi muda meminati muzik dangdut.

“Sudah ada beberapa nama dalam senarai saya, namun belum dapat disahkan lagi memandangkan saya masih dalam perbincangan dengan pihak pengurusan,” katanya.

Selain itu, Sheeda juga akan tampil dengan single duet bersama anaknya, Alin.

“Kalau dulu saya membawa Bienda ke dalam industri muzik, insya-Allah, saya akan lakukan perkara sama untuk membawa Alin yang kini berusia 16 tahun ke dalam industri.

“Kami akan muncul dengan single baru berjudul Sakti atau Sakiti Hati Ini ciptaan Ramada, anak kepada penyanyi dangdut, Iwan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:04 AM