Pelakon dan Pengacara, Neelofa. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pelakon dan Pengacara, Neelofa. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Pelakon dan pengacara, Neelofa menjelaskan, durasi pendek ketika menerima panggilan yang meluahkan kesedihan ditinggal ibu kandung di segmen 3 Pagi Era baru-baru ini, mengekangnya untuk memberikan penjelasan penuh.

Menurut Neelofa, 36, apa yang berlaku juga adalah atas ketidaksempurnaannya dalam memberikan pandangan mengenai keperitan pemanggil itu membesarkan adik-beradiknya sendirian.

"Bila secara spontan, itu adalah reaksi dan jawapan yang keluar daripada mulut saya yang mana, tentunya kita tak ada masa lima hingga 10 minit untuk huraikan kepada satu pemanggil.

"Tapi, sekali lagi, saya mengakui kelemahan dan ketidaksempurnaan saya dalam memberikan pandangan itu, betul. Kalau saya ada masa untuk huraikan, Insya-Allah, dengan temubual ini, mungkin orang lebih memahami.

"Saya tengok, banyak juga orang yang 'tag', huraian mereka mungkin tak tepat dengan apa yang syariat bawakan. Sebab memang tak boleh nak berdebatlah bab ini.

"Mungkin kalau adik itu menonton video dan temu bual ini, bila kita tengok balik apa yang ustazah-ustazah bincangkan mengenai ibu bapa ini, banyak dalil dan ayat Al-Quran yang ada," katanya.

Dihentam dengan pelbagai kecaman antaranya, dikatakan tidak layak memberikan pendapat mengenai perkara itu kerana kehidupannya cukup sempurna, Neelofa berkata, itu adalah tohmahan yang tidak adil.

"Tidak adil untuk seseorang itu terus jatuhkan hukum, 'tak apalah, hidup dia sempurna, hidup dia tak ada susah'. Saya tak pernah kongsi mengenai ibu bapa saya. Saya datang daripada keluarga yang bercerai.

"Kisah hidup saya dan ibu bapa saya, tak pernah ada yang tahu pun sangat sebab kami tak pernah kongsi. Tapi, tak bererti hidup saya sempurna dan baik-baik sahaja.

"Tapi, kita lalui hidup ini dengan cara yang betul seperti mana yang sudah diajarkan," katanya.

Neelofa juga mengambil kira setiap mesej dan teguran yang diterimanya, namun, menegaskan bahawa perkongsian itu adalah berdasarkan syariat.

"Saya ada baca beberapa orang yang 'tag' dan DM yang mencadangkan cara menjawab. Saya ambil kira semua itu dan ada yang saya bersetuju. Mungkin saya tak bagi jawapan penuh yang mengambil kira perasaan, keperitan, kesukaran. Itu saya akui dan akur.

"Saya akui, apa yang adik itu lalui, keperitan dan kesusahan hidup membesarkan adik-adik tanpa ibu bapa bukan satu benda yang muda atau orang minta.

"Alhamdulillah Allah beri kekuatan kepada dia dan adik-adik membesar dengan baik. Sekiranya ibu datang dengan penuh harapan, penuh penyesalan dan bertaubat, maka, carilah sedikit ruang untuk memaafkan. Ambil yang baik.

"Kita buat semampu boleh sebab agama tidak membenarkan kita bertindak secara tidak selayaknya buat ibu bapa kita. Kita anak-anak, tahu di mana tempat kita kepada ibu bapa, di sisi Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 4:11 PM