Zuliaty Zulkiffli

Langkawi: "Kami sangat rindukan emak dan kalau boleh kami berlima tak mahu berpisah tapi apakan daya saya masih bersekolah dan tak mampu uruskan adik-adik," kata Saidina Umar Abdul Ghani, 17.

Ibu mereka, Ruzaini Ibrahim, 38, meninggal dunia akibat barah payu dara tahun lalu menyebabkan mereka hanya bergantung hidup pada nenek dan ibu saudara untuk meneruskan hidup.

"Saya dan adik bongsu, Muhammad Uwais, 5, tinggal bersama nenek, Faridah Harun, 70, di Kampung Ayaq Hangat manakala adik kedua dan keempat, Auni Umaira, 15, Auni Nasuha Fitri, 6, tinggal bersama ibu saudara, Ruzaina Ibrahim, 49, di Perumahan Keda, Mukim Kuah, di sini.

"Adik ketiga pula, Siti Khadijah Aisyah, 12, tinggal di asrama Sekolah Rendah Bagan Nyior, Pulau Tuba," katanya ketika ditemui di sini.

Saidina Umar berkata, dia hanya berjumpa dengan adiknya, Auni Umaira pada hari persekolahan kerana bersekolah di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri.

Katanya, dua adiknya pula hanya bertemu pada hari minggu manakala Siti Khadijah pula bertemu pada cuti persekolahan.

"Kalau boleh saya nak jaga adik-adik dan tak mahu berpisah dengan mereka kerana sebelum meninggal, emak pesan suruh jaga adik-adik dengan baik.

"Ayah pula hilang entah ke mana dan kami tiada pilihan melainkan berpisah sementara untuk meneruskan persekolahan.

"Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti, saya nak cari kerja dan kumpul duit untuk jaga adik-adik, itu azam saya," katanya.

Saidina Umar berkata, arwah ibunya berhasrat membina rumah di tepi rumah ibu saudaranya itu tetapi rumah itu hanya siap tidak sampai 50 peratus.

Katanya, kalau boleh mereka nak teruskan pembinaan rumah itu bagi membolehkan dia tinggal bersama adik-adiknya.

"Sekarang ni kami hanya bergantung dengan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara persekolahan dan makan minum.

"Saya pun kalau boleh tak mahu susahkan nenek dan ibu saudara kerana mereka pun ada tanggungjawab keluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Agro Bank 2-00-5011-00014575-4 (Saidina Umar).

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengunjungi keluarga itu dan menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Katanya, sebelum ini pihak CSM pernah membantu ibu mereka yang ketika itu disahkan menghidap barah payu dara sebelum meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 4:13 PM
AUNI Umaira (dua kanan) dan abangnya, Saidina Umar (kiri) serta dua adiknya menunjukkan gambar ibu mereka, Ruzaini yang meninggal dunia akibat barah payu dara tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AUNI Umaira (dua kanan) dan abangnya, Saidina Umar (kiri) serta dua adiknya menunjukkan gambar ibu mereka, Ruzaini yang meninggal dunia akibat barah payu dara tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli