SAEED menerima sumbangan disampaikan Pegawai Khas Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Asrin Alkin. FOTO  Nuraliawati Sabri.
SAEED menerima sumbangan disampaikan Pegawai Khas Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Asrin Alkin. FOTO Nuraliawati Sabri.
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Saya sama sekali tidak akan berpisah dengan adik-adik. Saya akan jaga selain akan pikul tanggungjawab besarkan mereka," kata Saeed Ezuddin, 22, anak sulung kepada pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Serkam Pantai, di sini, semalam.

Kedua ibu dan bapanya Surayah Muhamat, 48, dan Ezuddin Mohammad, 50, maut dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi yang dipercayai dipandu di bawah pengaruh alkohol.

Anak sulung kepada enam beradik itu berkata, dia lega apabila adik-adiknya terutamanya adik bongsu berusia 10 tahun faham dan reda dengan pemergian ibu bapa mereka.

Dia yang baru menamatkan pengajian di Politeknik Merlimau Melaka berkata, sebelum ini dia ada menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah namun ia terpaksa dilupakan kerana fokus utama adalah membesarkan adik-adik.

"Apabila saya terangkan kepada adik-adik semalam, dan mereka faham. Kini saya perlu lihat dan uruskan keluarga.

"Hasrat untuk sambung belajar juga kena lupakan kerana saya perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada adik-adik.

"Saya sudah merasa kasih sayang daripada ibu dan ayah jika saya lanjut pelajaran risau adik-adik tidak dapat perhatian," katanya.

Menurutnya, dengan bantuan ahli keluarga yang lain dia yakin tanggungjawab dan amanah itu akan dapat dilakukan walaupun kejadian yang berlaku mengakibatkan mereka sekelip mata kehilangan ibu bapa.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Santos Bukarok berkata, pihaknya akan mempertimbangkan bantuan bulanan kepada adik beradik itu yang masih bersekolah selain bantuan kepada nenek mereka berusia 80-an yang kini sakit terlantar.

"Bagi bantuan segera kita salurkan wang tunai RM300 dan kit makanan kepada Saeed sebagai ketua keluarga.

"Dalam masa sama kita akan pertimbangkan bantuan RM450 kepada adiknya yang masih bersekolah berusia antara 10 hingga 16 tahun dan akan cuba proses dengan kadar segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 4:36 PM