IZZUE Islam ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama beliau di Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
IZZUE Islam ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama beliau di Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
Ramlah Zainal

Shah Alam: Pelakon dan pengacara, Izzue Islam mengakui dia tidak perlukan sesi lebih rapat atau berdua-duaan dengan artis wanita untuk membina 'chemistry' (keserasian) dalam lakonan.

Izzue atau nama sebenar, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 33, berkata, sebenarnya sesi lebih rapat dengan artis wanita yang digandingkan dalam drama itu tidak perlu kerana ia boleh dibina di lokasi penggambaran.

"Kita berjumpa setiap hari dan berlatih di lokasi penggambaran dan waktu 'break' untuk makan pun sudah boleh bina 'chemistry' sesama pelakon.

"Alhamdulillah, setakat ini, saya berlakon dengan pelakon Ummi Nazeera, walau kami tak bersentuhan pun orang tetap boleh terima dan dapat rasa kami berdua ni sepasang suami isteri dalam drama," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis berbuka puasa anjurannya bersama pihak media di sebuah premis di sini, malam tadi.

Mengenai isu bina 'chemistry' itu lagi, kata Izzue, ada beberapa pelakon wanita yang selalu bekerja dengannya juga sudah tahu bagaimana untuk bina keserasian dengannya dalam drama.

"Setakat ini, saya tidak pernah digoda artis wanita tapi saya tahu ada beberapa pelakon yang tidak selesa dengan saya sebab tidak boleh bersentuhan dalam lakonan.

"Sebagai pelakon kita hanya perlu menjadi diri sendiri dan kami juga bergurau di lokasi.

"Kami juga tahu kelebihan dan kekurangan masing-masing dan sama-sama bantu untuk memberikan yang terbaik pada watak dilakonkan," katanya.

Ditanya artis terpalit kontroversi pula, kata Izzue, dia tiada masalah untuk bekerja dengan mereka jika digandingkan dalam drama.

"Saya pernah beberapa kali digandingkan dengan artis yang sebegitu sebelum ini.

"Setakat ini tiada masalah sebab mereka mungkin sudah tahu kalau berlakon dengan saya tak boleh bersentuhan dan pada masa sama, isteri, Awin Nurin memang ada menemani di lokasi penggambaran," katanya.

Terdahulu, salah seorang kru penerbitan yang hanya ingin dikenali sebagai Mr Z mendedahkan hubungan akrab antara pelakon Aliff Aziz dan Ruhainies yang dikatakan untuk mencipta 'chemistry' di lokasi penggambaran drama Terjerat sehingga didakwa ditangkap khalwat di kondominium mewah, baru-baru ini.

Menurutnya, pasangan pelakon ini juga mempunyai panggilan 'baby' selain kelihatan lebih akrab berbanding hubungan dengan pelakon lain.

"Hubungan mesra mereka di lokasi penggambaran yang kononnya untuk mencipta 'chemistry' (keserasian), tak sangka pula dibawa sampai ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 5:16 PM