TENAGA produksi yang menjayakan Antara Dua Dunia.
TENAGA produksi yang menjayakan Antara Dua Dunia.
Syanty Octavia Amry


Cinta antara dua darjat antara kisah yang sering menjadi perhatian masyarakat. Apabila golongan berada bercinta dengan golongan miskin pasti banyak halangannya.

Namun, jodoh manusia tiada siapa boleh menduga. Kalau sudah tertulis itulah jodoh kita, maka akan bersatu juga akhirnya biarpun terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri.

Menerusi drama bersiri 13 episod arahan Mohd Faizal Ariff, Antara Dua Dunia turut memaparkan cerita yang sama.

Lakonan mantap Izzue Islam dan Nad Zainal, drama berkenaan akan mula bersiaran pada 1 April ini di saluran TV AlHijrah.

Berkongsi pengalaman mengarahkan drama berkenaan, Faizal berkata, pada mulanya dia bimbang tidak dapat menghasilkan babak menarik berikutan drama itu perlu mengikut syariah.

“Ini adalah pengalaman pertama saya bekerja untuk TV AlHijrah. Pastinya semua maklum setiap drama yang ditayangkan di stesen berkenaan perlu mematuhi syariah.

“Hari pertama penggambaran saya bimbang jika apa yang dilakukan tidak menepati kehendak stesen TV.

“Alhamdulillah apabila sudah beberapa hari penggambaran, saya dapati babak seperti ini lebih mudah.

“Saya tidak perlu bimbang untuk memperlihatkan setiap babak itu nampak lebih semula jadi. Malah saya tiada masalah apabila Izzue sendiri tidak mahu babak bersentuhan.

“Boleh dikatakan setiap babak yang dihasilkan tampak lebih mudah dan menarik,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Izzue dan Nad, Faizal berkata kedua-dua pelakon itu sangat komited serta dapat menjiwai karakter masing-masing dengan berkesan.

“Saya kagum dengan semangat mereka. Komitmen yang diberikan memang wajar dipuji.

“Mereka memudahkan urusan saya kerana memberikan lebih daripada apa yang saya mahu,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran drama ini, Faizal berkata, dia perlu menyiapkannya dengan segera memandangkan tarikh tayangan semakin dekat.

“Tiada apa yang mencabar kecuali saya perlu segera menyiapkannya.

“Apa yang menggembirakan saya apabila ada satu babak yang saya perlukan, berjaya dihasilkan tanpa bantuan kru.

“Ia babak hujan lebat yang membabitkan Izzue dan penggambaran dilakukan di Damansara. Sepatutnya saya perlukan bantuan bomba untuk hasilkan hujan.

“Namun urusan ini dipermudahkan Ilahi apabila tiba-tiba hujan turun dengan lebat,” katanya.

Sementara itu, Nad pula mengakui tiada masalah melakukan adegan tanpa bersentuhan.

“Saya tahu Izzue memang tidak boleh bersentuhan dengan pelakon perempuan ketika penggambaran. Lagi pula drama ini untuk TV Alhijrah, jadi semua pelakon sudah diberitahu tiada babak bersentuhan.

“Bagi saya ada banyak cara lain yang boleh diaplikasikan untuk menampakkan keintiman pasangan.

“Begitu juga babak antara saya dan Izzue, di mana dia banyak menggunakan isyarat mata bagi menampakkan kemesraan kami,” katanya.

Sinopsis

Raisha lakonan Nad adalah graduan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang juga anak tunggal kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Ridwan (Jalaludin).

Prinsip Raisha dan bapa­nya sangat bercanggah sehinggakan mereka sering berselisih faham.

Dia tidak mahu hidup bertuhankan harta dan lebih mementingkan nilai murni dalam setiap perkara yang dilakukan.

Datuk Ridwan ingin menjodohkan Raisha dengan anak rakannya dengan harapan perniagaan mereka semakin maju.

Satu hari, Raisha dan Ridwan bergaduh di hadapan Azman (Izzue) yang baru sehari bekerja di syarikat itu.

Berang dengan sikap Raisha, Ridwan mencabar dia berkahwin dengan Azman. Tidak mahu mengalah Raisha menyahut cabaran bapanya.

Raisha cuba mengenali Azman dengan lebih rapat. Keperibadian dan latar belakang jejaka itu meyakinkan Raisha untuk meneruskan cabaran bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 12:01 PM