SELESA ditemani isteri walau di mana saja.
SELESA ditemani isteri walau di mana saja.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sejak kerjaya lakonan Izzue Islam, 25, dijaga isteri tercinta Awin Nurin yang juga pengurusnya, ada saja cerita kurang enak didengar.

Berbeza ketika dia masih bujang, Izzue bebas melakonkan apa saja watak. Namun, selepas dia mendirikan rumah tangga, banyak yang terbatas.

Izzue dikatakan tidak mahu melakonkan babak romantik dan bersentuhan kononnya atas kehendak isteri.

Malah, ada beranggapan Awin adalah ‘pengarah kedua’ di lokasi.

Perkara terbabit menyebabkan ‘kekecohan’ di lokasi penggambaran drama Aku Isterinya lakonan Izzue bersama Anzalna Nasir.

Dalam satu temu bual ketika majlis pelancaran drama itu, Anzalna mengakui sukar bekerja dengan Izzue, tetapi tetap bersikap profesional.

Namun, syarat yang diletakkan tidak membuatkan dia terasa hati atau bermasam muka dengan Izzue dan Awin.

Terbaru timbul dakwaan hal sama berulang di lokasi penggambaran drama. Kali ini membabitkan Izzue bersama seorang pelakon wanita yang melakonkan watak sebagai adik-beradik.

Ditanyakan sejauh mana kesahihan cerita berkenaan, Izzue menafikannya.

“Saya tak dengar pun gosip tu. Lagipun perkara terbabit (bersentuhan) semua orang sedia maklum. Jadi saya anggap isu ini takkan ada lagi,” katanya.

Izzue berkata, keputusan untuk tidak melakonkan babak sedemikian adalah syarat diberikan kepada setiap produksi.

“Memang itu syarat utama. Kalau mereka bersetuju, kami akan bekerjasama. Jika tidak, mungkin bukan rezeki saya. Isteri saya hanya menjalankan tugasnya sebagai pengurus. Syarat itu datangnya daripada saya,” katanya.

Menurutnya, mustahil perkara berkenaan terjadi kerana pengarah sedia maklum syarat terbabit.

Katanya, dia tidak menyalahkan mana-mana artis wanita yang bergandingan dengannya sekiranya melanggar syarat dan prinsipnya.

“Saya berharap tidak ada lagi isu seperti ini. Sebab itu isteri saya nyatakan terlebih dulu syarat terbabit kerana tidak mahu timbul cerita bukan-bukan di kemudian hari,” katanya.

Pada masa yang sama, Izzue turut selesa ditemani isteri setiap kali berada di lokasi penggambaran.

“Berapa lama saya di lokasi, isteri mesti ada. Saya tak boleh kalau dia tidak ada. Saya perlukan dia di sisi saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:00 AM