Georgie Joseph

Debaran siapa bakal menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 kian terasa dan beberapa bekas juaranya, Misha Omar, Dayang Nurfaizah dan Kaka Azraff ada ramalan tersendiri.

Misha, 42, akui untuk aspek lagu, banyak karya ada kebarangkalian akan mengungguli kedudukan teratas, tapi untuk vokal, dia ada beberapa pilihan teratasnya.

"Susah nak ramal sebenarnya. Kalau tengok finalis tahun ini, semuanya mempunyai peluang untuk berada di tangga teratas. Ada banyak lagu unik, berat dan penyanyinya bukan calang-calang.

"Tapi 'forte' saya kepada menyentuh pasal suara. Kalau ditangani dengan baik macam keseimbangan dan komposisi vokal, lagu Jangan Mati Rasa Itu, Sutera, Hasrat, Astana, Darah dan Bintang, semua boleh berada di tangga teratas.

"Untuk kategori vokal tahun ini sangat sengit antara Aina Abdul, Aisha Retno, Marsha Milan dan Ernie Zakri. Saya paling tak sabar nak tengok kemunculan kembali ratu kita atas pentas, Ziana Zain," katanya.

Misha memenangi AJL menerusi Bunga-Bunga Cinta ciptaan Adnan Abu Hassan pada 2003.

Bagi Dayang, 42, pula, dia meramal persembahan kreatif akan didominasi finalis muda dan paling ternanti tahap vokal finalis yang mempertaruh lagu balada.

MISHA jangka persaingan sengit.
MISHA jangka persaingan sengit.

"Saya sangat teruja nak tengok persembahan sebab kagum dengan cara penyampai finalis AJL. Khususnya artis muda yang saya perlu akui sungguh kreatif. Aisha Retno misalnya, sentiasa di luar kotak. Pasti menarik.

"Paling saya ternanti nak lihat adalah Ziana yang sekian lama tidak beraksi di pentas AJL. Sesuatu yang sangat bagus buat industri kerana orang lama sepertinya bawa warna berbeza.

"Kemudian penyanyi lagu balada, tak sabar lihat apa mereka bakal lakukan untuk lonjak lagu itu ke tahap lebih tinggi," katanya yang pernah menang AJL menerusi Lelaki Teragung ciptaan Natasyah Ahmad dan Iman Imran pada 2016 dan Haram (duet bersama Hael Husaini) ciptaan Hael dan Ezra Kong pada 2018.

Kaka Azraff yang menang menerusi lagu Gila (bersama Noki dan Loca B) ciptaan Ezra Kong, Loca B, dan Noki pada 2020 pula memilih lagu Inilah Jalannya nyanyian Kugiran Masdo sebagai juara edisi kali ini.

"Kalau mengikut cita rasa dan minat saya, tiga tangga teratas akan menjadi milik Inilah Jalannya oleh Masdo, Hasrat (Amir Jahari) dan Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul).

"Secara peribadi Inilah Jalannya adalah pilihan saya kerana keasliannya, karakter sangat kuat dan lain daripada lain. Satu pembaharuan dalam industri muzik bila mempertaruhkan lagu yang bunyinya lama, tapi boleh dibaharukan dan anak-anak muda semua suka.

"Saya paling nak lihat keaslian, identiti dan kelainan atas pentas. Elemen kejutan itu pasti akan ada, tapi yang membezakan betapa autentiknya lagu itu dan persembahan mereka," katanya.

Bertemakan Muzikaverse, malam kemuncak, AJL ke-38 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Mac ini menjanjikan persembahan terbaik dan paling ikonik dalam sejarah.

12 lagu bertanding adalah Jangan Mati Rasa Itu ciptaan dan nyanyian Aina Abdul, Astana (Ernie Zakri/ Omar K/ Syamel/ Syazriq Azeman) Sutera (Aisha Retno/Aisha Retno dan MFMF/Aisha Retno), Santai (Naqiu/Faizal Tahir), Inilah Jalannya (Masdo/ Noh Salleh), Darah (Marsha Milan/ Naim Daniel dan Firdaus Rahmat) dan Kalam (Shiha Zikir/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat).

Tidak ketinggalan, Hasrat (Amir Jahari/ Amir Jahari), Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah/A Ramlee dan Ezra Kong/ A Ramlee dan Ezra Kong), Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain/Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat/ Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali/ Amylea).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 6:30 AM