Aina Abdul pada sidang media pengumuman 30 lagu bertanding Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM 38) di Jio Space. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aina Abdul pada sidang media pengumuman 30 lagu bertanding Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM 38) di Jio Space. FOTO ASYRAF HAMZAH
Najiy Jefri

 

Shah Alam: Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaan Aina Abdul dipilih sebagai lagu terbaik hari pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung di Studio 1 Glenmarie, di sini, hari ini. 

Lagu terbabit mengetepikan 10 lagu lain yang turut bertanding dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan barangan eksklusif tajaan penaja utama Alha Alfa. 

Tidak hanya itu, lagu terbabit turut diumumkan sebagai Lagu Pilihan Alha Alfa sekali gus berjaya membawa pulang RM2,000 dan barangan eksklusif Alha Alfa.

Bagaimanapun, lagu yang berjaya hari ini tidak semestinya layak ke Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 tahun depan. 

11 lagu yang bertanding hari ini adalah Inilah Jalannya nyanyian Masdo dan lagu serta ciptaan Noh Salleh; Waktu (Hasif Upin dan Ziana Zain / Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat / Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat); Kucuma (Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah / A Ramlee dan Ezra Kong / A Ramlee dan Ezra Kong); Kaulah Syurga (Khai Bahar dan Lia Aziz / Asfan Shah / Siti Rosmizah) dan Tusuk (Shiha Zikir / Iqie Hugh dan Omar Kay / Iqie Hugh dan Omar Kay).

Turut bertanding adalah Hasrat nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Amir Jahari; Ilusi (Marsha Milan feat Hazama / Iqie Hugh, Shazreq Azeman dan Omar K / Iqie Hugh, Shazreq Azeman dan Omar K); Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul / Aina Abdul / Aina Abdul); Bahagia Milik Kita (Syamel / Syamel dan Ahmad Jeffny / Syamel); Oh Wanita (Khai Bahar / Harry Khalifah / Harry Khalifah) dan Racun (Elica Paujin feat Dem Lepak Boyz / Iqie Hugh dan Aniq Iffat / Iqie Hugh dan Aniq Iffat). 

Kesemua lagu itu diadili oleh barisan juri iaitu Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua, Datuk Wah Idris, Cat Farish, Helen Yap, Azmeer dan LY. 

Hari pertama SFMM38 dimeriahkan dengan persembahan jemputan Noraniza Idris yang menyampaikan lagu Dikir Puteri, Ngajat Tampi dan Hatinya Tak Tahan. 

Sebanyak 12 lagu terbaik bakal dipilih selama tiga hari SFMM38 berlangsung bermula hari ini. 

AJL38 bakal berlangsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 5:26 PM