Daqmie
Daqmie
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur : Menteri Sains, Teknologi, Exco Agama & Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menyumbangkan lirik untuk dua lagu yang dimuatkan dalam album terbaharu Daqmie, Ramadan 1445. 

Mohd Arifin yang menulis lirik untuk lagu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan berkata, lirik lagu yang dihasilkannya sebelum ini pernah dinyanyikan oleh satu kumpulan nasyid di Sabah. 

"Ada dua lagu yang dihasilkan dan diangkat daripada lirik yang saya tulis. Sebelum ini, ia pernah dinyanyikan juga oleh kumpulan nasyid di Sabah. 

"Lirik yang saya buat sudah sedia ada dan diperhalusi serta dipertajam oleh Daqmie. Bila saya dengar, memang luar biasa," katanya. 

Selain bekerjasama dengan Daqmie, Mohd Arifin juga pernah menghasilkan lagu untuk penyanyi lain. 

"Saya menghasilkan banyak juga lirik untuk tujuan ini. Selain itu, ada juga puisi-puisi saya yang dijadikan lagu puisi. 

"Terbaharu, tahun lalu ada satu lirik saya yang dimuatkan dalam album Datuk Ramli Sarip. Alhamdulillah, sudah diterbitkan. 

"Dulu, saya pernah buat lirik untuk lagu Aidilfitri untuk Datin Camelia. Kemudian, yang terbaharu dengan Datuk Ramli Sarip. Yang dialbumkan ada satu lagu iaitu Sentosa Di Kubah Hayat," katanya. 

Lagu Rasul Junjungan dan Bulan Kemuliaan dinyanyikan Daqmie bersama kumpulan nasyid dari Sabah, Syahmura dan menjadi dua daripada 18 lagu yang dimuatkan dalam album Ramadan 1445. 

Selain Syahmura, album itu turut menampilkan kumpulan nasyid popular, Rabbani. 

Sebelum dilancarkan, 500 unit album Ramadan 1445 sudah habis dijual dan akan diulang cetak. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 7:17 PM