PERSEMBAHAN Coldplay tiada tandingan.
PERSEMBAHAN Coldplay tiada tandingan.
Georgie Joseph


Skala keterujaan lebih 75,000 penonton Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) baru-baru ini tentu belum reda.

Dalam konsert anjuran Live Nation Malaysia itu, Coldplay berjaya memahat magis yang akan dikenang selamanya.

Selama 27 tahun menanti kehadiran band dari Britain itu ke Malaysia, rata-rata yang hadir ternyata belum 'move on'. Tanda pagar #COLDPLAYinKL di Twitter misalnya masih ada digunakan.

Demikian juga band itu sendiri. Sebanyak tiga hantaran dimuat naik di Instagram rasmi mereka untuk konsert di sini. Peminat di sini berjaya meninggalkan kenangan manis buat mereka juga.

Benar muzik itu menyatukan ramai. Ia terbukti di konsert terbabit dalam pada mengundang pelbagai cabaran, tapi akhirnya berlangsung aman dan luar biasa.

Kehadiran dari pelbagai latar belakang, generasi, kewarganegaraan berbeza menjadi alibi kukuh band kesayangan ramai itu. Di stadium itu, semua berkongsi cinta yang 'satu', cinta terhadap Coldplay.

Seperti jutaan peminat lain seluruh dunia, peminat kita harapkan Coldplay mencipta magis terindah di sini juga. Bukan setakat berjaya, penonton bagaikan 'disihir' band itu dan belum puas menonton mereka.

Mana tidaknya, jumlah kehadiran mampu berganda andai saja tiket konsert itu ditambah. Hakikatnya ribuan peminat yang gagal mendapatkan tiket sanggup mengikuti persembahan mereka dari luar SNBJ.

Tiada secebis cacat cela pun pada persembahan dipamerkan sepanjang hampir tiga jam. Hujan lebat yang membasahi tidak lagi dirasa kerana mata dan perhatian masing-masing tertancap pada band itu.

Sebolehnya semua enggan terlepas pandang terhadap butiran kejadian atas pentas. Atmosferanya bikin meremang dilimpahi pula pancaran cahaya gelang khas yang dibekalkan untuk dipakai sepanjang konsert.

Susuk tubuh penyanyinya, Chris Martin sentiasa diekori baik atas pentas utama, laluan tengah hingga pentas tambahan.

Gema nyanyian tidak putus mengiringi hampir setiap lagu dipersembahkan, menyentuh sanubari terdalam Martin.

"Terima kasih kerana sanggup berhujan, meredah trafik, datang demi kami, menyayangi kami, juga kerajaan bagi buat persembahan di sini. Ini hujan rahmat dan terima kasih setia menunggu 27 tahun.

"Kenapalah kami tidak berkunjung ke sini lebih awal. Selama lebih 20 tahun, orang pernah cakap penonton di sini adalah antara yang terbaik di dunia," katanya.

Setiap yang terpacul dari mulutnya dibalas dengan jeritan kegembiraan. Jeritan itu tanda balas dendam terhadap penantian tertunggak melihat Coldplay depan mata.

MARTIN gamatkan stadium dengan pelbagai keletah.
MARTIN gamatkan stadium dengan pelbagai keletah.

LEBIH 75,000 tersentuh dengan persembahan penuh magis Coldplay.
LEBIH 75,000 tersentuh dengan persembahan penuh magis Coldplay.

BANYAK SEBAR ELEMEN POSITIF

Kebimbangan pertama ramai pastinya sejurus hujan turun pada permulaan konsert. Adakah menjejaskan persembahan atau lebih buruk dihentikan dulu? Tapi, bukan itu yang berlaku. 'Show must go on' jawabnya.

Hakikatnya, Martin sendiri menukar kebimbangan itu dengan gurauan 'Malaysian Rain'. Tak semena-mena dia mencipta spontan lagu istimewa keadaan semasa. Mana tidak, penonton makin galak tak keruan.

"Saya pergi ke Eropah, saya pergi ke Sepanyol, tapi tak ada secantik seperti hujan Malaysia. Bila saya sedih, bila saya dalam kesakitan, saya cuma nak berdiri bawah hujan Malaysia," antara bait-bait liriknya disertai petikan gitar.

Dalam lautan kerlip berwarna-warni itu juga, Martin sempat mengibar bendera putih dengan tulisan 'Love' berwarna merah. Sambil berlari di setiap pelosok pentas, tindakan itu sebagai simbolik mesej keamanan.

"Keamanan yang hanya kita perlukan dalam dunia ini adalah kasih sayang," katanya.

Sebagaimana rutin di setiap konsert mereka, Coldplay turut menjemput penonton bertuah ke pentas ketika dendangan lagu Magic. Sepasang suami isteri iaitu Afiq dan Sasha menjadi paling bertuah di Malaysia.

Sambil bermain keyboard, mereka menemani Martin betul-betul di sebelahnya sepanjang persembahan itu. Malah, Martin menyuruh mereka menikmati detik itu sebaiknya.

"Tidak mengapa, saya sudah depan mata awak. Simpan telefon bimbit awak," katanya kepada Afiq tatkala peminat itu ingin merakam video.

Sasha pula kelihatan cukup tidak percaya dengan momen itu dan sebak kegembiraan. Pasangan terbabit sempat menyatakan kepada Martin bahawa lagu itu mereka dedikasikan kepada puteri tercintanya, Diora.

Paling menyentuh, Martin turut mendedikasikan konsert itu buat peminatnya dikenali sebagai Jade yang tidak berpeluang hadir. Peminat terbabit meninggal dunia sebelum konsert itu.

Anggota keluarganya ada hadir menonton dan cuma dapat membawa foto Jade bersama mereka. Mereka ada menyatakan mendiang paling teruja ingin menonton Coldplay dan terkilan hajatnya tidak kesampaian.

SERBA-SERBI mengenai konsert itu indah dan sempurna.
SERBA-SERBI mengenai konsert itu indah dan sempurna.

BERJANJI AKAN DATANG LAGI

Yang pasti, sambutan luar biasa peminat di sini memberi harapan Coldplay memilih Malaysia lagi sebagai persinggahan pada konsert akan datang.

"Terima kasih tunggu selama 27 tahun. Saya pasti akan kenang pasal Malaysia dan harap ada jodoh kita berjumpa lagi," katanya.

Coldplay yang turut dianggotai Johny Buckland (gitar), Guy Berryman (bass) dan Will Champion (dram) turut menggamatkan stadium menerusi pantun 'tom yam' spontan dan mencuit hati.

Pantun didendangkan Martin itu berbunyi, 'Pergi ke kedai membeli sayur, masak tom yam pesan bonda, Coldplay sekarang di Kuala Lumpur, payung lagu 'favourite' anda' sambil diiringi petikan keyboard.

Pada konsert berkenaan, Coldplay memberikan pengalaman menarik kepada peminat apabila memberikan peluang mengayuh basikal untuk membekalkan tenaga lampu bagi pentas 'kinetik'.

Inisiatif itu dilakukan sebagai antara satu usaha Coldplay untuk memupuk kesedaran terhadap alam sekitar, selari dengan komitmen kumpulan terkenal itu untuk mengurangkan pelepasan karbon diaoksida.

Band terbabit mempersembahkan 26 lagu daripada album terawal sehingga album terbaharu berjudul Music of the Spheres.

Antara lagu yang didendangkan termasuk Higher Power, Fix You, Yellow, The Scientist, Viva La Vida, My Universe, Clocks, In My Place, Paradise, Sparks, Adventure of a Lifetime, Hymn For The Weekend, A Sky Full of Stars, Biutyful dan banyak lagi.

Selain kerlipan cahaya warna-warni, persembahan mereka turut diselang-seli dengan percikan bunga api di udara serta konfeti.

Terdahulu, tirai persembahan konsert bermula jam 8 malam dibuka dengan kemunculan penyanyi hip hop, Bunga yang mendendangkan lima lagu iaitu Intan Payung, Apadehal, Belai dan Buai serta single terbaharu, Jiwaraga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:00 AM