Nadia peminat tegar kumpulan Coldplay
Nadia peminat tegar kumpulan Coldplay
Najiy Jefri


Kuala Lumpur : "Berbuat baik antara satu sama lain dan diri sendiri."

Demikian kata pelakon Nadia Brian yang masih terngiang-ngiang ucapan vokalis kumpulan Coldplay, Chris Martin ketika berpeluang menyaksikan konsert Coldplay Music of The Spheres World Tour yang berlangsung selama enam hari di Stadium National Singapura.

Nadia berkata, sebagai peminat kumpulan berasal dari London itu, dia berasa teruja apabila berpeluang menyaksikan  kehebatan Coldplay pada konsert berkenaan.

"Saya begitu gembira dan terhibur dengan setiap persembahan yang mereka tampilkan. 

"Memang tidak dapat disangkal Coldplay adalah kumpulan muzik terbaik di dunia. Mereka mempamerkan aksi yang cemerlang ketika konsert itu.

"Saya juga sangat teruja apabila mereka menyanyikan dua lagu kegemaran saya iaitu Beautiful dan Yellow. 

"Saya suka mendengar kata-kata ucapan Martin kepada anggota kumpulan itu dan seluruh peminat yang membanjiri konsertnya di Singapura," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nadia, dia sanggup membeli tiket di Singapura selepas terlepas peluang menyaksikan konsert Coldplay di Malaysia pada November tahun lalu.

"Saya dapat rasai satu pengalaman baru apabila saya naik bas dari Johor ke Singapura. 

"Kemudian sewaktu balik, saya terpaksa jalan jauh untuk pulang ke Johor. Tapi, saya tak rasa terbeban atau penat.

"Sebenarnya saya nak pergi tengok konsert Coldplay di Malaysia tahun lalu, tapi tiket sudah 'sold out'.

"Jadi saya ambil keputusan untuk pergi menyaksikan konsert Coldplay di Singapura. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan tak sangka dapat melihat idola saya menyanyikan lagu-lagu yang saya dengar ketika zaman remaja," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 11:01 AM