Trofi ke-13 tuah buat Taylor Swift. FOTO AFP
Trofi ke-13 tuah buat Taylor Swift. FOTO AFP
Agensi

Los Angeles: Trofi kategori Album Vokal Pop Terbaik yang menjadi milik Taylor Swift menerusi album Midnights menyaksikan trofi ke-13 dirangkulnya dalam penganjuran Grammy Awards yang kini sudah memasuki edisi ke-66.

Sebelum ini Swift pernah merangkul trofi sama menerusi album 1989 pada Grammy Awards 2016. Ia juga adalah album paling laris bagi 2014.

Swift yang hadir menerima trofi itu dalam acara yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, hari ini berkata, trofi ke-13 yang diraih itu adalah nombor bertuah buat dirinya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dan di sini saya ingin memberitahu satu rahsia yang disimpan hampir dua tahun lalu iaitu saya bakal lancarkan album baharu pada 19 April ini.

"Album ini diberi judul Tortured Poets Department. Saya akan muat naik kulit album di media sosial sebentar lagi. Terima kasih, saya sayang anda,"katanya.

Swift dicalonkan dalam enam kategori pada penganjuran tahun ini, termasuk Persembahan Solo Pop Terbaik (Anti-Hero), Album Terbaik (Midnights), Persembahan Duo/Kumpulan Pop Terbaik (Karma), Lagu Terbaik (Anti-Hero) dan Rekod Terbaik (Anti-Hero).

Bagaimanapun kategori Persembahan Solo Pop Terbaik tidak dimenangi Swift sebaliknya menjadi milik Miley Cyrus menerusi lagu Flowers. Ia adalah kemenangan pertama Cyrus dalam Grammy Awards.

Hasrat Swift untuk memenangi kategori Persembahan Duo/Kumpulan Pop Terbaik menerusi lagu Karma juga tidak kesampaian apabila dimenangi oleh SZA dan Phoebe Bridgers dengan lagunya Ghost in the Machine.

Swift juga tidak berjaya meraih trofi Lagu Terbaik apabila kategori itu menjadi milik Billie Eilish menerusi lagu What Was I Made For?.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 12:53 PM