Baby Shima
Baby Shima

Kuala Lumpur: Penyanyi Baby Shima menyelar kecaman segelintir netizen mengutuknya mengenakan baju tradisional wanita Iban di Sarawak dipanggil Ngepan Iban dalam muzik video (MV) lagunya Bujang Sarawak.

Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramly berasa pelik dirinya dipersalahkan apabila mengenakan pakaian tradisional berkenaan yang memang aslinya digayakan begitu.

"Ini adalah pakaian tradisional Iban, Ngepan Iban. Pelik juga tengok komen-komen dalam YouTube Bujang Sarawak. Ada sahaja nak dipersalahkan tentang pakaian dalam lagu Bujang Sarawak.

"Fuh! Saya dah jumpa komen yang terpaling suci. Mungkin dia rasa terpaling suci hingga pakaian tradisional kaum Iban pun dia tak kenal.

"Boleh tengok sendiri komen begitu dalam YouTube. Ingatkan sorang, ada beberapa orang lagi. Entah apa-apa sampai budaya orang pun dia nak kecam," balas Shima.

Antara komen diterimanya mendakwa tindakan Shima menggayakan Ngepan Iban sebagai haram kerana memakai pakaian tradisional orang bukan Islam.

Pada masa sama, pengikutnya terutama dari Sarawak turut kesal apabila penyanyi itu dilemparkan kata-kata tidak baik hanya kerana menggayakan pakaian tradisional kaum Iban.

Apapun, Shima terima pujian masyarakat negeri Bumi Kenyalang atas usahanya mempromosikan budaya mereka ke arus perdana. 

Tidak ketinggalan, mereka kagum kerana penyanyi terbabit berani sahut cabaran untuk menyanyi lagu bahasa Iban dan pembawaannya sangat baik.

"Saya orang Iban sangat terkejut dengan pembawaan lagu ini. Sangat bagus suara dia. Sebutan Shima sangat lancar. Saya sebagai masyarakat Iban berasa sangat bangga," itu antara komen netizen.

Bujang Sarawak yang dilancarkan pada 2 Februari adalah ciptaan komposer dan penulis lirik asal Sarawak, Hairee Francis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 11:45 AM