Fathia Latiff
Fathia Latiff
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Fathia Latiff mengaku masih menyimpan dendam terhadap bekas kekasihnya iaitu Aiman Hakim Ridza yang juga suami kepada pelakon popular, Zahirah MacWilson.

Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 36, mengaku belum mampu meneruskan kehidupan selepas gagal dalam percintaan dengan pelakon itu.

"Saya sudah 'move on' (meneruskan kehidupan), tapi saya ada dendam terhadapnya. Saya tidak mencintainya lagi, tetapi, saya ada dendam," katanya pada sesi podcast bersama Caprice di Instagram, hari ini.

Fathia pernah menjalin hubungan cinta dengan Aiman, namun, perhubungan mereka berakhir pada Disember 2015.

Aiman kemudian menamatkan zaman bujang dengan menikahi Zahirah pada 20 Februari 2020.

Dalam masa sama, Fathia turut menjelaskan sebab dia masih memuat naik foto bersama bekas teman lelakinya itu di media sosial.

"Dia seorang selebriti. Saya boleh muat naik apa saja yang saya suka. Dia selebriti dan 'public figure'. Ramai orang guna foto 'public figure' di seluruh dunia. Jadi, mengapa saya tidak boleh guna?" katanya.

Dalam temubual itu, Fathia turut menjawab persoalan Caprice yang mendakwa tindakannya itu ada satu bentuk provokasi kerana mengganggu rumah tangga orang.

"Saya tidak tahu bagaimana tindakan itu mengganggu. Bagaimana pula awak tahu tindakan itu suatu provokasi?" katanya.

Bagaimanapun, Caprice sekadar menjawab Aiman adalah suami orang.

Katanya, dia tidak menganggap foto dia dan Aiman sebagai satu isu kerana lelaki itu pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.

"Dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Kami bersama lima tahun. Saya fikir tidak salah muat naik sesuatu mengenai seseorang yang pernah berada dalam hati saya," katanya.

Fathia sebelum ini mencuri perhatian apabila mendakwa Aiman masih menyimpan cinta terhadapnya.

Menerusi hantaran di Instagram, Fathia memuat naik foto bersama Aiman yang didakwa dirakam pada 2014 dengan keterangan gambar boleh mengundang kontroversi dan kecaman.

Sebelum ini, nama Fathia hangat diperkatakan apabila menyamakan wajah Zahirah persis bibik atau pembantu rumah.

Fathia mendakwa dia lebih cantik dan bagus berbanding Zahirah kerana pernah memenangi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2016.

Selepas Zahirah, Fathia bergaduh pula dengan bekas kawan baiknya, Zarina Anjoulie yang kini saling membuka aib masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 2:51 PM