Siti Nooriah Hasan
Siti Nooriah Hasan
Najiy Jefri


 

Kuala Lumpur: Gurauan terakhir wartawan hiburan, Siti Nor Hafizah Kamarudin, 41, yang memaklumkan umurnya tidak panjang kepada ahli keluarga rupanya menjadi kenyataan apabila disahkan meninggal dunia ketika bercuti di London bersama keluarga, Khamis lalu.

Menceritakan situasi menyedihkan itu kepada media, ibu arwah iaitu Siti Nooriah Hasan,69, berkata, Fiza berkongsi gurauan  itu sebelum berangkat ke London pada pertengahan bulan lalu.

"Sebelum mereka sekeluarga berangkat ke sana, saya sempat menemani Fiza di rumahnya selama dua minggu kerana keadaan kesihatannya agak kurang baik ketika itu.

"Masa itu dia ada bergurau dan katanya along nak mati. Tapi saya cakap pada dia, orang sakit tak semestinya mati dan Insha-Allah boleh sembuh.

"Dia juga ada beritahu adiknya Siti Norhazlinda yang dia sudah bosan tinggal di rumahnya, dia nak pindah duduk di rumah saya di Ampang dan bercadang nak pindahkan anaknya ke sekolah berhampiran rumah saya," katanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. 

Menurut Siti Nooriah, biarpun terkilan tidak dapat menatap wajah anaknya buat kali terakhir, namun dia sudah reda dengan pemergian anaknya itu. 

Katanya lagi, dia sempat menatap wajah anaknya itu buat kali terakhir menerusi panggilan video dibuat suami Allahyarham ketika anaknya sedang nazak. 

"Mula-mula menantu saya buat panggilan video , arwah masih memberikan maklum balas. Kemudian ketika menantu buat panggilan kali kedua dia sudah tidak menyahut dan saya nampak dadanya berombak dan minta suaminya ajar  mengucap," katanya. .

Ditanya mengenai keperibadian Fiza ketika hayatnya, Siti Nooriah berkata, Allahyarham adalah tunjang utama kepada keluarga.

"Dia adalah perancang utama dalam keluarga. Kalau kami ada buat sebarang majlis, arwah akan jadi perancang dan mengatur dari awal sampai selesai majlis.

"Begitu juga dengan persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Setiap tahun dia akan datang mengemas rumah saya terlebih dahulu dan tak bagi adik-beradik lain buat kerja.

"Kalau soal makan pula, setiap lokasi restoran yang dia pernah cuba dia akan bawa saya selepas itu," katanya.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor, hari ini. 

Terdahulu Allahyarham yang bertugas sebagai editor portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media meninggal dunia di London, Khamis lalu selepas rebah ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heatrow, London untuk pulang ke tanah air selepas menghabiskan cuti selama dua minggu.

Beliau menerima tajaan pakej pelancongan bersama keluarga ke London, difahamkan sudah merancang percutian sejak 2022 ketika keadaannya masih stabil.

Meskipun keadaan kesihatan kurang baik selepas keluar hospital pada November lalu, keluarga memilih menunaikan hajat arwah untuk bercuti.

Percutian ke London adalah hajat terakhir arwah Fiza bagi meraikan anak-anak, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8, berikutan percutian itu sudah lama dirancang.

Allahyarham Fiza adalah pejuang kanser payu dara. Selepas enam tahun bebas penyakit kanser, ia kembali menyerang ke hati.

Selain itu, kanser berkenaan turut merebak ke bahagian kepala dan seluruh badan.

Proses membawa pulang Fiza ke tanah air mengambil sedikit masa berikutan membabitkan pelbagai dokumen.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 12:40 PM