Anak Allahyarham Fiza di Hospital Charing Cross, London.
Anak Allahyarham Fiza di Hospital Charing Cross, London.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur : Anak kepada wartawan Malaysia, Allahyarham Fiza Kamarudin yang meninggal dunia di London iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8, sudah boleh menerima pemergian ibu mereka, semalam.

Suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli, 40, berkata, ketika ini dua anaknya itu berada dalam keadaan baik.

"Anak-anak okey dan mereka sudah boleh terima. Kalau jadi, adik arwah akan datang Ahad ini untuk bantu tengokkan mereka dulu," katanya yang turut memaklumkan jenazah isterinya masih berada di Hospital Charing Cross, London.

Roshdi berkata, jika proses urusan membawa pulang jenazah isterinya lambat, adik ipar akan membawa dua anaknya itu pulang dulu, manakala dia akan tinggal di London untuk urusan selanjutnya.

Menurut Roshdi, proses itu dijangka mengambil masa dalam tempoh seminggu selain masih menunggu laporan penuh daripada pihak hospital.

"Saya tak boleh cakap bila boleh dibawa pulang sebab proses di sini agak lama. Kena tunggu sijil kematian keluar dari hospital dulu. Selepas itu baru boleh bawa jumpa pengurusan jenzah.

"Sekarang pun jenazah masih berada di hospital. Pihak hospital juga akan menghubungi saya hari ini untuk maklumkan langkah seterusnya," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Fiza atau nama sebenarnya Siti Nor Hafiza Kamarudin yang juga pengarang di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia disahkan meninggal dunia di Hospital Charing Cross, London.

Selepas itu dia dilaporkan dilaporkan kritikal apabila rebah dan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum Fiza bersama keluarga sepatutnya berlepas pulang ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 3:17 PM