Siti Nordiana
Siti Nordiana
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Proses perbicaraan membabitkan kes saman fitnah yang difailkan penyanyi Siti Nordiana terhadap lima sekawan termasuk ke atas penyanyi Lan Solo dan Syura, mengganggu fikirannya.

Siti Nordiana, 39, atau mesra disapa Nana berkata, dia bagaimanapun perlu bijak mengimbangi perkara itu agar fokusnya di pentas pertandingan program All Stars Gegar Vaganza tidak terganggu.

"Sejujurnya, proses mahkamah yang berlangsung ketika ini mengganggu juga fikiran saya. Saya terfikir juga apa yang bakal dan sedang berlaku dengan kes saya ketika ini.

"Tapi walau apa pun, saya akan kuatkan semangat untuk meneruskan perjuangan.. Insya Allah. Buat masa ini belum giliran saya lagi untuk ke mahkamah mungkin pada bulan ini juga nanti.

"Dalam masa yang sama, saya perlu pandai mencari masa untuk memberikan membahagikan masa sebaik mungkin untuk melakukan dua perkara dalam satu masa.

"Harapan saya, semoga berjalan dengan lancar, dipermudahkan segala-galanya dan dapat diselesaikan dengan cepat," katanya.

Terdahulu, Nana, 39, memfailkan saman fitnah menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021.

Nana selaku plaintif menamakan Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, isterinya Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali Syura, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis, Razidah Ahmad Senusi, 42, sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan dua daripada lima individu yang disaman Nana untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Nana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Justeru Nana menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 11:42 AM