Afgan. Foto Saifullizan Tamadi
Afgan. Foto Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur : Penyanyi Afgan meluahkan rasa teruja apabila bakal menjayakan konsert bersama orkestra Malaysia buat kali pertama di negara ini.

Afgan berkata, sebelum menerima pelawaan penganjur untuk menjayakan konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur esok, dia meletakkan syarat untuk mendapatkan khidmat orkestra sebagai pemuzik kali ini.

"Saya sudah beberapa kali menjayakan konsert di sini dan untuk edisi kali ini memang saya minta supaya ia membabitkan orkestra sebagai pemuzik saya.

"Lebih istimewa ini juga julung kalinya saya diiringi pemuzik daripada Malaysia dan saya tidak sabar menjayakannya," katanya pada sesi bersama media di sini, hari ini.

Menurut Afgan, dia juga memuji kehebatan kira-kira 25 pemuzik orkestra dari Malaysia yang disifatkan hebat dan profesional.

"Saya memang kagum saat menjalani sesi latihan dengan mereka bila bertemu tadi, walaupun baru dapat nota muzik untuk konsert saya mereka sudah bisa memainkan dengan baik," katanya.

Menerusi konsert berkenaan, Afgan bakal membawakan 25 buah lagu termasuk lagu penyanyi tempatan yang masih dirahsiakan.

Untuk edisi kali ini, dia juga bakal berduet dengan rakan senegaranya Raisa berjudul Percayalah.

Kesemua 3,000 tiket konsert itu terjual pada persembahan yang akan berlangsung malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 6:49 PM