Siti Nurhaliza berkongsi kenangan ketika melawat arwah Huzz di hospital.
Siti Nurhaliza berkongsi kenangan ketika melawat arwah Huzz di hospital.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mengucapkan takziah atas pemergian bekas wartawan hiburan, Kamal Huzaini Kamaludin atau Huzz dan berkongsi pengalaman bekerjasama dengannya.

Menerusi hantaran di Instagram, Siti turut berkongsi rasa kehilangan dan memuat naik gambar ketika meluangkan masa menziarahi Huzz di hospital, baru-baru ini.

"Al-Fatihah. Salam takziah kepada seluruh keluarga bekas wartawan Huzz atau nama sebenar, Kamal Huzaini bin Kamaludin yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang tadi.

"Seorang sahabat media yang saya kenali sejak dari awal bergelar artis, sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang dia menjadi wartawan dan tentunya kita kehilangan sosok tokoh senior dalam bidang ini.

"Saya dan suami sempat menziarahi allahyarham di hospital, saya bawakan air zam-zam (baru pulang dari Mekah ketika itu), berada bersama-samanya dan berbual-bual sekitar satu jam.

"Meskipun sakit, dia tetap tersenyum dan bercerita pengalaman-pengalaman kami bersama sepanjang saling bekerjasama," tulisnya.

Yayasan Nurjiwa yang dikelolakannya turut menyalurkan bantuan kepada Huzz pada Ramadan lalu disamping berkongsi mengenai badal haji yang akan dilakukan oleh pihak yayasan.

"Allahyarham juga turut mendapat bantuan daripada Yayasan Nurjiwa sewaktu pihak kami mengadakan majlis berbuka puasa (infaq Ramadan) dan dia diwakili rakan wartawan untuk menerima sumbangan itu.

"Sewaktu melawatnya, kami juga sempat memberi khabar bahawa pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan (upah) badal haji buat Allahyarham. Doakan agar urusan badal haji Allahyarham dapat pihak kami sempurnakan.

"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan Allah menempatkan allahyarham di syurga. Semoga urusan pengebumian Allahyarham juga berjalan lancar," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 7:29 PM