Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan Chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 45, memohon orang luar terutama peminat untuk memberi ruang privasi kepada adiknya, Raf Yaakob serta isterinya yang juga pelakon Mawar Rashid susulan dakwaan pasangan itu bakal bercerai.

Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob berkata, sebagai abang dia enggan mencampuri urusan peribadi mereka.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan itu. Saya mahu memberikan ruang kepada Raf dan isteri," katanya ringkas.

Ditanya mengenai dakwaan adakah benar pasangan itu sepatutnya hadir ke mahkamah hari ini, Fazley enggan memberikan sebarang komen.

"Apa yang boleh saya cakap, saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk Raf dan Mawar. "Saya pasti mereka akan memberi penjelasan mengenai dakwaan ini," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan pasangan itu didakwa bakal bercerai apabila sepatutnya hadir ke mahkamah syariah hari ini.

Menguatkan lagi spekulasi itu, Mawar juga dilaporkan sudah memadam gambarnya bersama suami di Instagram.

Isu rumah tangga Mawar dan Raf didakwa sedang bergolak selepas dia mengambil keputusan membuka tudung.

Mawar atau nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid melangsungkan pernikahan dengan Raf pada 9 November 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta kini berusia dua tahun dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 7:09 PM