Mawar Rashid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Mawar Rashid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Syafil Syazwan Jefri

 

Petaling Jaya: Pelakon, Mawar Rashid, 29, memilih untuk tidak berkongsi mengenai perkara peribadi berkaitan kehidupannya kerana tidak mahu menjejaskan tumbesaran anak-anaknya dan menghormati pihak bekas suaminya, Raf Yaakob. 

Mawar berkata demikian ketika ditemui di sidang media dan bacaan doa selamat filem Jangan Pandang Belakang 2. 

"Saya berpegang dengan prinsip saya untuk tidak berkongsi mengenai isu peribadi kepada umum sebab saya ada anak-anak. Nanti, mereka dah membesar, mereka akan baca perkara yang tak sepatutnya. 

"Saya juga menghormati pihak yang terbabit. Tetapi apa yang boleh saya cakap, saya gembira dan bersyukur dengan peluang yang saya terima sekarang," katanya kepada Harian Metro. 

Berkongsi mengenai tawaran lakonan selepas bertukar status dalam rumah tangganya, Mawar menganggap peluang itu sebagai rezeki yang takkan disia-siakannya. 

"Apabila ada peluang ini, saya tidak akan sia-siakan. Saya juga bersyukur menerima sokongan daripada peminat," katanya. 

Menyentuh mengenai masalah anxiety yang dialaminya, Mawar berkata, keadaannya bertambah baik. 

"Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik. Tiada lagi mengalami serangan panik. Walaupun ada beberapa dugaan besar dalam hidup saya, tapi saya kini lebih gembira," katanya. 

Terdahulu, spekulasi pergolakan rumah tangga pasangan itu timbul selepas Mawar membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab, pada awal Oktober tahun lalu.

Mawar kemudiannya memadam gambar bersama Raf di Instagram dan sah bercerai pada November tahun lalu. 

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1.

Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan terdahulu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 8:14 PM