Zarina dan anak istimewanya, Azal Azrai. FOTO Instagram
Zarina dan anak istimewanya, Azal Azrai. FOTO Instagram

Kuala Lumpur: Anak istimewa pelakon Zarina Zainuddin iaitu Azal Azrai berkongsi di akaun Instagram mengenai dirinya yang disahkan positif Covid-19.

Dalam hantaran terbaharunya itu, Azal menggambarkan situasi yang berlaku kepadanya umpama mimpi ngeri yang menjadi nyata.

"Mimpi ngeri saya kini menjadi kenyataan hari ini. Dengan rendah hati, saya nak maklumkan bahawa saya disahkan positif Covid-19.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua yang menjadi kontak rapat saya dan sila buat ujian segera. Mohon maaf atas segala kesulitan dan Insya-Allah, saya akan sembuh," tulisnya.

Menurut Azal, dia yang juga bekerja sebagai penghantar makanan dan menemani ibunya ke set penggambaran menegaskan bahawa varian Omicron bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

"Omicron bukanlah jenaka. Ujian RT PCR pertama saya menunjukkan negatif semalam, namun hari ini, ujian kedua pula menunjukkan saya positif," tulisnya.

Hantaran Azal itu mendapat maklum balas daripada ibunya, Zarina di Instagram.

"Saya baru tengok hantaran di Instagram Azal. Pandai anak ibu taip macam orang normal. Azal, Azal. Kalau orang tengok Instagram Azal, dia muat naik apa-apa, semua dia buat sendiri. 

"Dia tak bagi saya pegang telefon dia. Jangan harap dapat. Boleh gaduh besar kalau kita pegang telefon dia. Itulah kawan dia. 

"Dia nak berhubung dengan kawan-kawan dia di alam maya melalui telefon saja. Kawan betul-betul tak ada pun. Kawan baik Azal, ibu, ayah dan Azil," tulisnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:30 PM