KARNIVAl Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall.
KARNIVAl Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall.
Minda Ranggong

Barisan selebriti terkenal tanah air sekali lagi bakal meriuhkan Karnival Jom Heboh (KJH) yang kali ini berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall pada hujung minggu ini.

Johor adalah lokasi keempat bagi KJH selepas mendapat sambutan luar biasa di Kelantan (7-9 September), Pulau Pinang (28-30 Julai) dan Selangor (2-4 Jun) yang meraih lebih daripada 300,000 pengunjung di setiap lokasi.

Karnival di Johor yang berlangsung tiga hari bermula esok menampilkan pelbagai aktiviti bersifat kekeluargaan, santai dan interaktif yang meliputi semua lapisan masyarakat Malaysia.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan konsert KJH yang berlangsung Sabtu dan Ahad serta diserikan dengan barisan artis antaranya Wany Hasrita, Shiha Zikir, Sofarz, Kmy Kmo & Luca Sickta, Lan Solo, Ismail Izzani, Zarul Umbrella, Stacy Anam, Nabila Razali, Zizi Kirana, Akim Ahmad, Naim Daniel dan Estranged.

Disamping itu pengunjung dapat menikmati makanan yang hangat diperkatakan di media sosial dan boleh menyertai aktiviti sukaneka bersama-sama selebriti iaitu Sukaneka Janji Happy anjuran TV9.

Hadiah misteri disediakan kepada pengunjung yang menyertai sukaneka ini.

Bagi mereka yang ingin mengekspresikan bakat nyanyian yang terpendam, mereka berpeluang menyerlahkan bakat dalam Jom Lokal Jam pada 27 Oktober ini jam 9 malam di Pentas Utama KJH.

Dalam mengangkat seni tarian tradisional dan memperkasakan tradisi busana tradisional Malaysia dalam kalangan generasi muda supaya tidak tenggelam dek zaman, Studio Tonton Drama Sangat (STDS) menganjurkan Pertandingan Tarian Zapin Kreatif dan Pertandingan Kostum Tradisional Kanak-Kanak.

Pertandingan terbuka kepada kanak-kanak berusia 15 tahun dan 12 tahun ke bawah. Pemenang pertandingan ini masing-masing berpeluang merebut hadiah utama berjumlah RM300 dan RM3,000.

STDS juga menghimpunkan program menarik dan selebriti popular khas buat peminat drama. Selebriti yang bakal hadir adalah barisan pelakon segmen Samarinda, Lestari dan Segmen Akasia seperti Afifah Nasir, Ummi Nazeera, Sherry Ibrahim, Wani Kayrie, Wanna Ali, Ahmad Idham serta Sharifah Sakinah daripada segmen Tonton.

Manakala STDS turut menampilkan selebriti daripada program realiti masakan popular iaitu Dapur Tempur Selebriti seperti Cef Naem, Michael Ang, Achey dan ramai lagi.

Hadiah menarik turut disediakan menerusi reruai Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), Hot FM dan Seismik TV.

Tidak ketinggalan, selain reruai di bawah naungan Media Prima, reruai lain turut menyediakan promosi hebat dan hadiah menarik seperti F&N, Pocky, Watsons dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 6:21 AM