Zul Yahya berbasikal secara solo sejauh 1,384km. Foto Ihsan Pembaca
Zul Yahya berbasikal secara solo sejauh 1,384km. Foto Ihsan Pembaca
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon, Zul Yahya, 50, bersyukur niat murninya melakukan Kayuhan Insan Solidariti Palestin dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru dengan basikal tuanya bagi mengumpul sumbangan dipermudahkan Allah SWT dan mendapat sambutan luar biasa.

Zul dihubungi berkata, basikal tua itu adalah satu daripada 10 koleksi basikal lama miliknya yang dipilih untuk digunakan dalam ekspedisi berbasikal secara solo sejauh 1,384 kilometer (km) demi solidariti 'kecilnya' untuk rakyat Palestin.

"Alhamdulillah, Allah SWT yang bagi jadi dan permudahkan banyak benda untuk saya sepanjang perjalanan ini walaupun cabarannya tetap ada. Tapi, syukur kerana banyak yang Allah bagi mudah dan lancar.

"Dalam perjalanan itu, saya bergantung kepada Allah sepenuhnya. Minta kudrat daripada Allah untuk dapatkan kekuatan dan semangat teruskan kayuhan dan perbuatan ini adalah satu tindakan yang baik, nak mengajak orang bersolidariti serta tingkatkan sifat insan dan kasih sayang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Yahya, banyak perkara ajaib dan luar biasa yang Allah SWT hadirkan buatnya sepanjang perjalanan itu, sekali gus membawa kepada mesej utama yang boleh dipandang iaitu nikmat diberikan Allah untuk kita sentiasa mensyukurinya.

"Beginilah, kalau kita naik kenderaan berenjin seperti kereta dan motosikal, kita akan bergantung kepada enjin ataupun minyak, tapi bila mana kita berkayuh basikal, kita tidak bergantung kepada minyak ataupun enjin, kita tak tekan pedal atau pulas minyak untuk teruskan perjalanan, tapi kita perlukan kudrat, tenaga dan akal.

"Jadi, benda-benda ini yang tak dapat dibeli di stesen minyak atau kedai-kedai, benda ini kita kena minta pada Allah. Alhamdulillah, saya diiringi dengan kasih sayang yang Allah berikan kepada setiap makhluk yang melihat dan menanti perjalanan itu.

"Sepanjang perjalanan itu, penuh dengan kebahagiaan. Dalam setiap kayuhan itu penuh dengan kegembiraan, syukur dan bahagia apabila melihat sebahagian daripada perjalanan itu disambut dengan kasih sayang," katanya.

Ditanya juga mengenai wang sumbangan sudah terkumpul, Zul berkata, dia belum mengira lagi dan baginya berapa jumlah hendak dikumpul bukan sasaran utama, sebaliknya nak mengajak meningkatkan solidariti orang ramai kepada Palestin.

Terdahulu, Zul memulakan kayuhan bersendirian dari Ipoh pada 21 Oktober lalu dan sampai ke Johor Bahru pada 27 Oktober (Jumaat).

Kini, dia difahamkan berada di Melaka untuk berkayuh pulang ke Ipoh semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 11:59 AM